AM

BELANJAWAN 2026 TERUS SEDIAKAN BANTUAN SOSIOEKONOMI

08/08/2025 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Belanjawan 2026 akan terus menyediakan bantuan sosioekonomi bagi melindungi kumpulan berisiko tinggi yang terjejas akibat tekanan kos sara hidup.

Menurut Kenyataan Prabelanjawan 2026 Kementerian Kewangan (MOF), bantuan itu bertujuan menyediakan sokongan pendapatan agar semua lapisan masyarakat dapat menikmati kehidupan bermaruah dan sejahtera, selain rakyat mampu memperoleh keperluan asas terutama makanan dan barangan keperluan di samping memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara.

“Pada masa sama, kerajaan akan berusaha mengurangkan kesilapan dalam penyasaran, sama ada penyertaan tidak sepatutnya mahupun pengecualian yang tidak wajar agar bantuan disasarkan dengan tepat kepada golongan memerlukan,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan kerajaan komited untuk beralih daripada subsidi menyeluruh kepada pelaksanaan subsidi bersasar bagi menghapuskan ketirisan, meningkatkan kecekapan fiskal dan memastikan sumber awam diagihkan kepada golongan memerlukan serta memastikan majoriti rakyat terus menerima manfaat.

Menurut kenyataan itu, penambahbaikan berkenaan akan mewujudkan sistem perlindungan sosial yang kukuh, mengikut keperluan semasa dengan penggunaan data dan automasi bagi menyampaikan sokongan dengan lebih tepat, pantas dan bermaruah.

Menurut MOF, Belanjawan 2026 turut meneruskan usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta memodenkan pembangunan wilayah termasuk kawasan terpencil dan kurang mendapat perhatian di Sabah dan Sarawak.

Pelaburan utama akan tertumpu kepada infrastruktur dan utiliti asas termasuk jalan raya, air terawat, elektrik, sistem pembentungan dan Internet berkelajuan tinggi yang penting untuk kesejahteraan rakyat dan peningkatan mobiliti sosial.

Sementara itu, Belanjawan 2026 akan memperkasakan semua golongan untuk menyertai ekonomi negara yang berkembang melalui strategi pemerkasaan kumpulan sasar.

Ini meliputi inisiatif pengembangan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sokongan perusahaan sosial, akses pembiayaan dan platform digital bagi golongan belia selain pelaburan dalam infrastruktur penjagaan kanak-kanak, aturan kerja fleksibel, program peningkatan kemahiran dan keusahawanan untuk golongan wanita.

Selain itu, tumpuan diberikan bagi memperkasakan perlindungan sosial, penjagaan geriatrik dan rumah serta pembiayaan mampan penjagaan warga emas sementara bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), intervensi melibatkan akses pendidikan inklusif, infrastruktur awam tanpa halangan, perkhidmatan digital dan rangka kerja pekerjaan inklusif.

Komuniti Orang Asli dan pribumi pula akan dibantu melalui pembangunan ekonomi berasaskan komuniti serta penambahbaikan pendidikan dan kesihatan sementara inisiatif bagi Bumiputera meliputi strategi 3P iaitu penyertaan luas, pemilikan bermakna dan penguasaan dalam sektor strategik.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan