Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka mengekalkan aliran meningkatnya minggu depan dengan potensi melepasi paras 1,560, kata seorang penganalisis.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata momentum jangka pendek dijangka bergantung kepada sentimen pelabur dan premium risiko serantau.
Beliau berkata angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua 2025, yang akan diumumkan pada Jumaat (15 Ogos), dijangka mencerminkan daya tahan ekonomi, dengan unjuran tidak berubah pada 4.5 peratus tahun ke tahun.
“Pada hari yang sama, China akan mengumumkan angka jualan runcit terbaharunya, kerana kami percaya impak dasar marginal kini semakin berkurangan, dengan unjuran kami menunjukkan penyederhanaan kepada 4.6 peratus tahun ke tahun.
“Pemacu ini boleh mengubah semula minat risiko ekuiti serantau dan mempengaruhi aliran perdagangan berkaitan komoditi ke pasaran ASEAN,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek juga berkata para pelabur terus menumpukan kepada pengumuman tarif semikonduktor oleh Amerika Syarikat (AS), kerana sektor yang dipengaruhi tarif boleh mengalami ketidaktentuan sekali-sekala.
“Naratif makro global berpaksikan pada jangkaan penurunan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) kerana ia dijangka mempengaruhi aliran aset rentas, yang berpotensi meredakan kebimbangan berkaitan perdagangan.
"Kami melihat angka makro domestik yang positif dan pendapatan korporat AS yang teguh dijangka menyokong lagi indeks," katanya.
Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pelabur sentiasa memantau rapat hubungan perdagangan AS-China.
Bagi minggu yang baru berakhir ini, indeks penanda aras meningkat 23.63 mata kepada 1,556.98 pada Jumaat daripada 1,533.35 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas meningkat 76.46 mata kepada 11,601.79, Indeks FBMT 100 naik 94.28 mata kepada 11,379.91 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 93.42 mata kepada 11,634.18.
Indeks FBM 70 susut 208.34 mata kepada 16,505.53, manakala Indeks FBM ACE turun 17.49 mata kepada 4,606.88.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 100.62 mata kepada 17,580.82, Indeks Perladangan menambah 55.15 mata kepada 7,426.12, manakala Indeks Tenaga susut 12.88 mata kepada 736.72.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 12.65 bilion unit bernilai RM11.65 bilion daripada 15.94 bilion unit bernilai RM11.88 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 7.66 bilion unit bernilai RM10.61 bilion berbanding 8.33 bilion unit bernilai RM10.46 bilion.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 3.62 bilion unit bernilai RM508.07 juta daripada 5.50 bilion unit bernilai RM859.03 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.37 bilion unit bernilai RM529.84 juta berbanding 2.10 bilion unit bernilai RM561.51 juta.
-- BERNAMA