KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Enam sekeluarga di Kampung Batu Enam, di sini, terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan selepas atap rumah mereka musnah akibat serangan anai-anai.
Kerosakan itu menyebabkan keluarga berkenaan, termasuk empat anak yang masih bersekolah, terdedah kepada panas terik dan hujan setiap hari.
Nurwairani Mat Nayan, 49, berkata kayu pada struktur atas rumah yang didiami selama lebih 20 tahun itu mulai mereput angkara anai-anai sekitar tiga tahun lepas.
“Pada 2023, siling rumah mula melorot dan saya ambil keputusan untuk menanggalkan semua kepingan siling daripada membiarkannya jatuh terkena anak-anak.
"Bumbung di ruang tamu pula baru sahaja jatuh beberapa hari lepas, nasib baik tiada siapa yang berada di situ. Jadi, saya minta tolong suami kawan saya untuk buang semua bahagian yang sudah rapuh dan rosak dan biarkan rumah 'terbuka' begini," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Batu Muda di sini.
Nurwairani berkata pendapatannya yang tidak menentu sebagai tukang jahit menghalang niatnya untuk membaiki kerosakan rumah yang menelan kos hampir RM50,000, sekali gus terpaksa berteduh di ruang dapur dan dua bilik kecil termasuk yang digunakan untuk menyiapkan tempahan menjahit.
Bagaimanapun, keadaan itu menimbulkan kebimbangan memandangkan rumahnya terdedah kepada hujan, panas, serta risiko keselamatan.
“Harapnya bumbung ini dapat dibaiki segera sebab kalau hujan nanti macam mana, takut juga kalau terjadi renjatan elektrik,” katanya yang kehilangan suami tiga tahun lalu.
Nurwairani berkata dia bukan tidak pernah berusaha untuk mencegah kerosakan yang dibuat anai-anai itu, namun kawasan yang didiami itu memang sudah lama diserang serangga perosak, malah meletakkan racun juga sudah tidak berkesan.
Menurutnya, selain menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM500 dan RM800 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suaminya setiap bulan, dia juga sedang berusaha mendapatkan bantuan membaik pulih rumah Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Sementara itu, anak keduanya Wan Nurul Ayuni Wan Zulkifli, 22, berkata beliau tidak mampu membantu ibunya kerana baru sahaja bekerja selepas menamatkan pengajian dalam bidang psikologi.
Dia turut bimbang akan keselamatan adik-beradiknya yang berusia antara 11 hingga 25 tahun sekiranya keadaan rumah masih tidak dibaiki.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya melalui akaun Wan Nurul Ayuni di 7638287447 (CIMB Bank) atau menghubungi Nurwairani di talian 011-27608439.
-- BERNAMA