AM

PENGURUS PENGATURCARA RUGI RM2.33 JUTA JADI MANGSA LOVE SCAM

09/08/2025 01:33 PM

GEORGE TOWN, 9 Ogos (Bernama) -- Seorang pengurus pengaturcara sebuah kilang di Bayan Lepas, dekat sini kerugian lebih RM2.33 juta akibat terperdaya dengan sindiket penipuan cinta atau “love scam” baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata wanita warga tempatan berusia 53 tahun itu telah berkenalan dengan seorang lelaki kononnya warga Singapura yang menetap di Ottawa, Kanada pada Februari tahun lepas melalui ibu saudaranya ketika menghadiri seminar di Kuala Lumpur.

"Sepanjang perkenalan, mangsa hanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp dan pada Mac 2024, suspek memaklumkan kepada wanita itu yang dia menjalankan perniagaaan pemasangan grid elektrik dengan kerajaan Oman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa diminta untuk membuat pemindahan wang bagi pembelian bahan mentah projek berkenaan melalui akaun suspek dengan alasan capaian Internet di Oman tidak stabil.

Mohd Alwi berkata wanita itu kemudiannya membantu dengan mengakses akaun milik lelaki itu dan membuat pemindahan seperti diarahkan suspek sebelum menerima panggilan memaklumkan pindahan berkenaan tidak berjaya kerana melibatkan negara berbeza.

Beliau berkata lelaki itu meminta mangsa membuat pembayaran caj perkhidmatan bank terlebih dahulu dan berjanji akan membayar semula kepada mangsa.

"Sejak 28 Mac 2024 hingga 18 Ogos 2024, mangsa telah membuat 58 transaksi ke sembilan akaun bank tempatan berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM1.936 juta.

"Pada Sept 2024, suspek memaklumkan kepada mangsa yang dia telah mendepositkan cek berjumlah US$404,500 ke dalam akaun ‘Heritage Asset Bank Oman’ untuk membayar wang wanita itu dan mangsa dihubungi pegawai khidmat pelanggan bank berkenaan cawangan Malaysia yang memaklumkan perlu buat bayaran untuk menunaikan cek," katanya.

Beliau berkata pada 25 Sept 2024 hingga 4 Julai lepas, pengurus pengaturcara itu telah membuat 13 transaksi lagi ke lima akaun bank tempatan berbeza melibatkan RM399,407, kononnya untuk bayaran menunaikan cek.

Mohd Alwi berkata siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan