AM

KKR AKAN PASTIKAN PROJEK LEBUHRAYA KBKK DARI KETEREH KE KOK LANAS SIAP IKUT JADUAL

10/08/2025 01:06 AM

KOTA BHARU, 9 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya memberi jaminan bahawa projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) bagi jajaran Pakej 2B dari Ketereh ke Kok Lanas dapat disiapkan mengikut jadual, dijangka pada Ogos tahun depan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerja-kerja telah dimulakan semula pada Februari lepas dan kini mencapai kemajuan 6.1 peratus, mendahului jadual yang ditetapkan iaitu 5.1 peratus.

Beliau berkata pakej ini melibatkan pembinaan jalan berkembar empat lorong sepanjang 6.2 kilometer (km) dengan mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R5 dan kos kontrak semasa iaitu RM73.7 juta kini digerakkan oleh kontraktor Daie Engineering Sdn Bhd bagi menyiapkan baki kerja-kerja yang tertangguh.

"Saya sedar bahawa pelaksanaan projek ini berdepan beberapa cabaran termasuk proses pengambilan balik tanah, penyelarasan utiliti, kekurangan tenaga kerja, cuaca tidak menentu dan kenaikan harga bahan binaan. 

"Namun, saya memberi jaminan bahawa KKR bersama JKR akan memantau rapat dan menguruskan cabaran ini dengan sebaik mungkin supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Nanta berkata sebagai sebahagian daripada pembinaan keseluruhan Lebuhraya KBKK sepanjang 70.4 km, Pakej 2B juga akan menjadi penghubung penting dengan mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan 8 khususnya pada musim perayaan dan cuti sekolah.

"Selain itu, ia akan menjimatkan masa perjalanan daripada tujuh jam kepada empat jam setengah, mengurangkan jarak perjalanan sejauh 24 km dan meningkatkan keselamatan jalan raya serta membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.

"Bagi saya, projek ini bukan sekadar membina jalan baharu, ia adalah nadi penghubung rakyat Kelantan kepada peluang yang lebih luas sama ada daripada segi ekonomi, sosial atau kualiti hidup," katanya.

Beliau juga berkata apabila lebuh raya itu siap, ia akan menjadi sebahagian daripada rangkaian Lingkaran Tengah Utama yang memperkukuh hubungan Pantai Timur dengan Lembah Klang.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas usaha dan komitmen mereka. 

"Harapan saya adalah untuk melihat rakyat Kelantan dan Pantai Timur menikmati manfaat projek ini dalam tempoh yang ditetapkan. Rakyat tidak boleh dibiarkan menunggu lagi," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan