KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia perlu diberikan ruang untuk melengkapkan siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata ibu mangsa telah menyerahkan telefon bimbitnya kepada polis untuk siasatan forensik dan kerjasama itu menunjukkan kepercayaan keluarga terhadap pihak berkuasa.
“Apabila keluarga menaruh kepercayaan, kita wajar memberi ruang kepada polis untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka berdasarkan maklumat tersebut,” katanya selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi yang menempatkan mangsa kebakaran di Pantai Dalam baru-baru ini.
Fahmi, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata Jabatan Peguam Negara turut mengarahkan polis menggali semula kubur Allahyarham untuk tujuan autopsi manakala Menteri Dalam Negeri telah memaklumkan bahawa tindakan itu akan dilaksanakan segera.
“Jadi, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengendalikan proses ini dengan tepat dan tanpa kelewatan... insya-Allah dalam masa terdekat, kita harap kertas siasatan dapat dilengkapkan supaya Timbalan Pendakwa Raya dapat membuat keputusan yang diyakini akan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mengamalkan sikap vigilantism (menghakimi sendiri) berhubung maklumat tidak sahih mengenai kes itu yang tular di media sosial kerana tindakan sedemikian hanya akan menjejaskan siasatan dan boleh membawa implikasi undang-undang.
“Kita perlu berhati-hati. Jangan ambil tindakan sendiri. Jangan mengamalkan vigilantism sehingga menjadi hakim, juri dan algojo.
“Sekarang, polis boleh menjalankan siasatan kes buli berdasarkan pindaan Kanun Keseksaan yang mentakrifkan buli sebagai satu jenayah sama ada fizikal, mental atau dalam talian… ini termasuk sikap toksik seperti mendedahkan maklumat peribadi seseorang dengan niat memberi tekanan atau mendatangkan kemudaratan,” katanya.
Mengenai kandungan yang telah disekat berkaitan kes itu, Fahmi berkata beliau belum menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia namun menegaskan terdapat spekulasi melampau seperti dakwaan mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh yang terbukti tidak benar dan penyebarnya telah meminta maaf.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Peluncuran Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Kerinchi yang bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap isu penderaan, pengabaian dan eksploitasi membabitkan golongan itu.
-- BERNAMA