AM

USIA 19 TAHUN ALAMI SERANGAN JANTUNG, NCD DI MALAYSIA AMAT MEMBIMBANGKAN - DZULKEFLY

09/08/2025 05:17 PM

KANGAR, 9 Ogos (Bernama) -- Penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat Malaysia kini mencapai tahap membimbangkan dengan kes serangan jantung termuda yang direkodkan Institut Jantung Negara (IJN) melibatkan pesakit berusia 19 tahun.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya akan menangani isu itu secara agresif dan pada masa sama menggesa rakyat negara ini mengamalkan gaya hidup sihat termasuk aktif bersenam dan menjaga pemakanan.

Beliau berkata darah tinggi atau hipertensi, kolesterol tinggi, diabetes dan obesiti merupakan faktor utama penyebab serangan jantung yang boleh membunuh secara senyap jika diabaikan.

"Hasil dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan satu daripada tiga rakyat Malaysia menghidap hipertensi manakala satu daripada tiga orang mempunyai kolesterol tinggi, satu daripada enam rakyat Malaysia menghidap kencing manis (diabetes) dan satu daripada dua (rakyat) atau hampir 54 peratus mengalami masalah berat badan (obesiti).

"Kita khuatir NCD yang menjadi pembunuh utama iaitu serangan jantung," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Karnival Sihat Milik Semua di Dewan 2020 di sini hari ini.

Perasmian itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Karnival itu berlangsung dua hari bermula hari ini di Dewan 2020 sebagai antara program sisipan bersempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Selain itu, Dzulkefly berkata pihaknya turut memberikan perhatian terhadap penyakit kronik seperti penyakit paru-paru akibat rokok misalnya Penyakit Paru-Paru Obstruktif Kronik (COPD), asma dan paling serius ialah kanser paru-paru.

Beliau berkata selepas serangan jantung, kanser merupakan antara NCD yang menjadi punca utama kematian, namun penyakit berkaitan paru-paru seperti penyakit paru-paru kronik akibat rokok juga berpotensi menjadi pembunuh kedua.

Dzulkefly berkata Malaysia membelanjakan kira-kira RM64.3 bilion setahun untuk rawatan NCD, berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan