AM

UNITEN PERKENAL JURUSAN BAHARU BERKAITAN AI

09/08/2025 09:17 PM

SHAH ALAM, 9 Ogos (Bernama) -- Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) melancarkan dua jurusan baharu berkaitan bidang kecerdasan buatan (AI) iaitu Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dan Sarjana Kecerdasan Buatan bermula sesi pengajian September ini.

Turut dilancar ialah program Sarjana Sains Data dan Diploma Teknologi Pembaharuan Tenaga yang antara lain bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi, data serta tenaga boleh diperbaharui.

Naib Canselor UNITEN Profesor Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata jurusan berkenaan diwujudkan sebagai langkah strategik memperkukuh daya saing universiti dan mempersiap graduan dalam mendepani landskap industri yang semakin dipacu oleh data serta automasi.

Beliau berkata bidang AI dan analitik data menjadi pemacu utama kepada inovasi serta transformasi industri sejajar dengan trend global bagi memenuhi keperluan industri selain tenaga kerja mahir dalam bidang tersebut.

“Dalam hal ini, UNITEN mengambil langkah proaktif untuk kekal relevan serta menghasilkan graduan bukan sahaja mahir teknologi malah berjiwa global dan berintegriti,” katanya.

Khairul Salleh berkata demikian kepada Bernama selepas melancarkan empat jurusan baharu itu bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan sempena Hari Terbuka UNITEN 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata UNITEN menyasarkan antara 1,500 hingga 2,000 pelajar mendaftar bagi keempat-empat jurusan dan kemudahan seperti Pusat Tenaga Nasional disediakan bagi tujuan itu.

Megat Jalaluddin pula berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama rapat antara industri dan universiti dalam memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan bidang tersebut.

Beliau berkata kerjasama itu boleh menjadi satu daripada kaedah atau pendekatan dalam menyediakan tenaga kerja benar-benar bersedia untuk dunia pekerjaan sebenar.

“Saya berpendapat tidak perlu tunggu pelajar tamat pengajian, (sebaliknya) sertai pada peringkat awal dan bentuk mereka bersama-sama dan membangunkan bakat mereka tanpa perlu sumber luar,” katanya.

Pelancaran jurusan baharu itu juga sebahagian daripada Pelan Strategik LUMINA UNITEN yang menyasarkan peningkatan jumlah pelajar kepada 12,000 orang menjelang 2030.

Pada masa sama, ia juga dapat mengukuhkan kedudukan UNITEN dalam QS World University Ranking yang kini di tangga ke-551. 

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan