DUNIA

JALAN BANJIR, LEBIH 180 PENERBANGAN TERTUNDA AKIBAT HUJAN LEBAT LANDA DELHI

09/08/2025 06:03 PM

NEW DELHI, 9 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Hujan lebat pada Sabtu melanda wilayah ibu negara India, Delhi, dan kawasan sekitarnya, menyebabkan banyak jalan dan kawasan dinaiki air selain menjejaskan pergerakan trafik, menurut pegawai, lapor Xinhua.

Hujan itu turut menjejaskan operasi penerbangan, dengan laporan menyatakan lebih 180 penerbangan tertunda manakala empat lagi dibatalkan.

Dengan beberapa jejantas bawah tanah dan jalan utama ditenggelami air, pengguna jalan raya berdepan kelewatan yang panjang.

Menurut laman penjejakan pesawat Flightradar, sekurang-kurangnya 182 pelepasan penerbangan di Lapangan Terbang Delhi telah tertunda. Sekurang-kurangnya 30 penerbangan yang tiba di Delhi juga mengalami kelewatan.

Pihak lapangan terbang Delhi dan beberapa syarikat penerbangan telah mengeluarkan nasihat kepada penumpang agar menyemak status penerbangan sebelum berangkat ke lapangan terbang.

Amaran hujan sangat lebat disertai kilat dan ribut petir telah dikeluarkan bagi kawasan termasuk Delhi Utara, Delhi Barat, Delhi Selatan, Delhi Tenggara dan Delhi Tengah.

-- BERNAMA-Xinhua

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan