KOTA BHARU, 9 Ogos (Bernama) -- Kerajaan terbuka untuk menerima permohonan projek baharu yang mendesak daripada Kelantan walaupun peruntukan untuk projek utama telah disenaraikan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata urutan keutamaan projek yang disenaraikan dalam RMK13 juga dibuat membabitkan libat urus secara langsung bersama kerajaan negeri.
"Walaupun RMK13 telah kita bentangkan, ada beberapa permohonan baharu dikemukakan dan memikirkan ada keutamaan, kita akan kaji terutama jika projek itu mendesak seperti tebatan banjir, bekalan air, bekalan tenaga dan pembasmian kemiskinan tegar.
"Sekarang kita sudah mula libat urus Belanjawan negara yang tentunya mengambil kira RMK13, jadi mana yang boleh kita tambah dan utamakan, kita akan kaji semula,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata sesi libat urus telah dipermudah berbanding sebelum ini dengan mengambil kira input daripada kerajaan negeri.
"Maknanya setiap kali kunjungi negeri, ada satu sesi khas memberi ruang kepada kerajaan negeri memberi input selain pemantauan projek-projek yang sedang berjalan... kadang-kadang projek yang kita umumkan jumlahnya besar tetapi pelaksanaannya terbantut, sebab itu rundingan ini kita teruskan dengan maksud pelaksanaan yang lebih berkesan," katanya.
Menyentuh mengenai PMR 2025 Kelantan, Perdana Menteri berkata program itu adalah kesempatan terbaik buat kerajaan mendekati dan menyampaikan maklumat secara terus kepada rakyat.
"Mudah-mudahan menerusi Program MADANI Rakyat ini, kita dapat mendekati masalah rakyat selain mengangkat apa-apa program yang perlu diberi perhatian," katanya.
PMR 2025 Kelantan berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lepas dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai kementerian peneraju dan mendapat kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri serta disokong oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
Ia menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini dan pelbagai inisiatif mendekati masyarakat melalui pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI.
Sementara itu, Anwar dalam hantaran di Facebook rasmi memaklumkan PMR 2025 Kelantan bukan sekadar ruang mengumumkan pencapaian tetapi medan rakyat menilai, bersuara, memberi sumbang saran berharga tentang kos sara hidup, pendidikan, keselamatan dan teknologi baharu yang menjadi pemacu penting untuk memperkukuh dasar negara.
"Pertumbuhan ekonomi yang kita rancang mesti mengangkat taraf hidup rakyat... sebab itu, Kerajaan MADANI menaikkan gaji minimum, menambah pendapatan nelayan dan petani serta menaikkan gaji penjawat awam meskipun melibatkan peruntukan sehingga RM18 bilion kerana setiap titis keringat rakyat wajar dibalas dan dihargai.
"Kos sara hidup kita tangani secara berani dengan menyusun semula subsidi ayam, mengangkat hasil tempatan dan memacu produktiviti pertanian... langkah ini bukan sekadar mengawal harga tetapi membina kemandirian negara," katanya.
Anwar berkata generasi masa depan juga perlu dipersiap dengan ilmu kecerdasan buatan serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) manakala pendidikan moden digabungkan dengan turath Islam dan nilai budaya agar mereka teguh berakar pada warisan namun lincah bersaing di pentas dunia.
Beliau berkata inilah MADANI yang mendengar suara rakyat, bertindak dengan tekad dan memastikan kemajuan yang inklusif untuk semua.
-- BERNAMA