SUKAN

KEMENANGAN 3-0 PERMULAAN BAIK BAGI KL CITY FC - VIDAKOVIC

09/08/2025 11:11 PM

BATU KAWAN, 9 Ogos (Bernama) -- Ketua Jurulatih KL City FC Risto Vidakovic menyifatkan kemenangan 3-0 ke atas Imigresen FC di Stadium Negeri Batu Kawan hari ini sebagai permulaan baik buat pasukan dalam meneruskan kempen Liga Super musim 2025/2026.

Vidakovic berkata meskipun beliau hanya mempunyai masa singkat untuk membentuk dan melatih pasukan berikutan kemasukan ramai muka baharu, namun anak buahnya berjaya menterjemahkan perancangan dengan baik sekali gus membuktikan kemampuan mereka di atas padang.

“Kami baru sahaja mengumpulkan pemain dalam masa singkat dan ia bukan mudah untuk menjangkakan sesuatu yang istimewa hari ini. Tetapi pastinya saya sangat gembira dengan keputusan ini.

“Saya rasa KL tidak pernah memenangi perlawanan pertama mereka sejak 30 tahun lepas, mereka sering tewas permainan pertama. Jadi kami memecahkan kebiasaan hari ini dan saya rasa sangat penting untuk kami meraih lebih keyakinan terutama kerana kami mempunyai banyak pemain baharu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pengendali dari Serbia itu berkata prestasi ditunjukkan pada perlawanan itu turut membuktikan bahawa pasukannya semakin baik dan berharap mereka dapat mengekalkan konsistensi pada aksi seterusnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Imigresen FC Yusri Che Lah mengakui perlawanan hari ini bukan sesuatu yang mudah apatah lagi buat mereka selaku pendatang baharu yang masih mencari keserasian.

Namun beliau berharap perkara itu dapat segera diatasi sebelum perlawanan seterusnya menentang Kelantan United pada Selasa depan.

Beliau berkata masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki terutama dari aspek kecergasan, selain terus melipatgandakan usaha bagi mendapatkan keputusan positif pada perlawanan akan datang.

“Kita lihat dari awal KL City FC mendominasi permainan tetapi pemain kita tetap cuba berikan saingan dan saya amat menghargainya.

“Perlawanan seterusnya akan berlangsung dalam masa tiga hari dan sudah pasti saya inginkan para pemain berada dalam kondisi terbaik terutamanya pemain import,” katanya.

Mengulas mengenai kegagalan menyempurnakan dua sepakan penalti, Yusri enggan menyalahkan anak buahnya sepenuhnya kerana ia merupakan perkara biasa dalam bola sepak.

Terdahulu skuad the City Boys membuka tirai liga dengan langkah kanan apabila menewaskan The Mighty Tigers menerusi jaringan 3-0.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan