KUANTAN, 10 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 20 rakyat Vietnam dan enam warga tempatan terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan dua kereta di KM17.3 Jalan Turun Genting Highlands, Bentong petang tadi.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kemalangan yang berlaku kira-kira 5 petang tadi, disebabkan bas dipandu seorang lelaki yang membawa 21 penumpang termasuk seorang pemandu pelancong hilang kawalan sebelum melanggar belakang kereta Perodua Myvi dan Toyota Innova, sekali gus menyebabkan semua kenderaan terbabas ke bahu jalan.
“Pemandu bas mengalami kecederaan ringan manakala semua penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemandu Perodua Myvi turut cedera ringan dan telah dibawa ke Hospital Bentong oleh orang awam manakala penumpang kereta itu selamat.
“Pemandu Toyota Innova bersama penumpang pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dalam kenyataan berkata bas terbabit dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Batu Caves, Gombak.
Sebanyak tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting serta sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) telah digerakkan dalam operasi terbabit.
-- BERNAMA