SHAH ALAM, 9 Ogos (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melancarkan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira 8 malam disambut oleh Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari, Ketua Pegawai Eksekutif YANIS Kamarul Hisham Yeop Hashim serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) Datuk Saipolyazan M Yusop.
Pada majlis itu, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja YANIS turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan RM1 juta kepada yayasan berkenaan daripada MBI Selangor.
Ketika ditemui pemberita, Anfaal berkata di samping meneruskan inisiatif di bawah Anak Istimewa Selangor (ANIS) yang tertumpu kepada Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah usia 18 tahun, YANIS akan memperluas capaian inisiatif pemerkasaan bagi semua warga OKU di negeri itu.
"Inisiatif ini selaras dengan matlamat kedua Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk meningkatkan inklusiviti sosial dan kesejahteraan masyarakat di Selangor serta teras yang terkandung di dalam Dasar OKU Selangor yang bakal dilancarkan pada Sidang Dewan Negeri akan datang," katanya.
-- BERNAMA