AM

HAPUS STIGMA TERHADAP TVET, FOKUS KEPADA KEMAHIRAN BERNILAI TINGGI

10/08/2025 10:52 AM

Oleh Kuvineshwaren Nedunjelian

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Stigma terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi datang daripada pelajar, sebaliknya ibu bapa dan pihak pembuat keputusan lain yang kini perlu mengubah minda sekali gus melihat bidang tersebut setaraf dengan pendidikan tinggi lain.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama, Presiden Yayasan Mahir Malaysia Datuk P. Sri Ganes berkata TVET menawarkan laluan bernilai bukan sahaja untuk lepasan sekolah malah golongan separuh profesional yang ingin meningkatkan kemahiran serta pesara khususnya, memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah menjadi masyarakat menua.

“TVET setanding dengan pendidikan tinggi lain. Pembuat keputusan perlu mengubah minda mereka dan menerima hakikat bahawa bidang ini bukan pilihan negatif tetapi laluan formal yang telah wujud sejak sekian lama,” katanya. 

Mengakui penyertaan kukuh masyarakat India dalam program TVET, Sri Ganes turut menekankan kepentingan untuk fokus kepada kursus bernilai tinggi selari dengan industri yang sedang berkembang seperti teknologi kenderaan elektrik (EV), pengendalian dron, sistem tenaga solar, kecerdasan buatan (AI) dan analitik data, bagi memastikan peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Bernilai tinggi bermaksud ia selari dengan peralihan industri yang sedang berlaku. Contohnya, teknologi EV, pengendalian dron, dan sistem tenaga solar yang semuanya menawarkan potensi pertumbuhan yang pesat. Kita perlu membimbing pelajar untuk memilih bidang ini bukan sekadar menyertai mana-mana program latihan yang percuma,” katanya. 

Beliau berkata agenda Perkasa MADANI TVET dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menekankan bukan sahaja aspek pengambilan tetapi juga strategi yang selari dengan industri masa hadapan agar graduan memperoleh pekerjaaan dengan gaji  tinggi atau memulakan perniagaan sendiri atau bekerja di pedalaman tanpa perlu berhijrah ke kawasan bandar.

Bagi meningkatkan penglibatan belia India, terutama daripada kumpulan B40, yayasan itu telah melancarkan inisiatif di bawah Skim Pembiayaan TVET Perkasa MADANI dan RMK13, termasuk program  TVET in School yang memperkenalkan kemahiran asas vokasional kepada pelajar sekolah Tamil di sekolah menengah biasa melalui kerjasama awam-swasta.

Selain menyelaraskan latihan dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) , yayasan juga menganjurkan pertandingan di peringkat sekolah, melakukan lawatan “TVET bergerak” ke bengkel dan industri, serta melatih guru bimbingan dan kaunseling untuk membimbing pelajar ke arah laluan kerjaya yang sesuai.

“Jadi bila kita mengenal pasti pelajar-pelajar ini, kita membuat satu inisiatif, TVET in school…supaya pelajar ini dapat didedahkan kepada kemahiran asas,” katanya menambah bahawa pendedahan awal boleh mengurangkan salah faham bahawa TVET hanya melibatkan bidang yang bernilai rendah.

Beliau menegaskan bahawa perkara penting adalah penilaian terhadap kesediaan untuk prakemasukan bagi memastikan kesesuaian kursus dan kerjaya serta mengelak penggangguran dalam kalangan graduan TVET, selain menekankan bahawa kadar 4.4 peratus pengangguran sektor itu termasuk mereka yang bekerja sendiri sebagai usahawan, masih dianggap memberangsangkan. 

“Jika kita fokus kepada belia India, saya berpendapat kita tumpu kepada keushawanan. Contohnya, jika kita mempunyai kemahiran dalam pengendalian dron, dengan memiliki dron kita boleh menawarkan perkhidmatan dan menjana pendapatan dalam pertanian atau pemeriksaan infrastruktur,” katanya.

Beliau turut menekankan bagaimana kemahiran TVET bernilai tinggi mampu memperkasakan beliau B40 untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor khusus terutama di kawasan kampung halaman mereka, sambil menegaskan bahawa pendedahan industri secara praktikal jauh lebih bernilai berbanding sekadar menamatkan kursus dalam talian. 

“Tahu cara menggunakan ChatGPT tidak akan memberikan pendapatan tetapi tahu bagaimana teknologi itu boleh membantu dalam pekerjaan itulah yang akan memberi pendapatan,” katanya. 

Mengenai pembiayaan pula, Sri Ganes menggesa kerajaan memberikan sokongan bersasar kepada lebih sejuta graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3 untuk meningkat ke Tahap 4 atau 5 bagi memboleh mereka melangkah ke jawatan sebagai penyelia atau pengurusan dan mencapai status pendapatan lebih tinggi. 

Beliau turut mendedahkan bahawa yayasan berkenaan baru-baru ini telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Yayasan Bantuan Pendidikan Sikh Malaysia (MSEAF) untuk menyediakan latihan bernilai tinggi dan peluang pekerjaan kepada belia Sikh, termasuk program Kejuruteraan Kecerdasan Buatan Bertauliah dari Amerika Syarikat. 

“Satu projek kami yang berjaya ialah apabila 10 pelajar daripada MSEAF telah mengikuti program ini secara sambilan dan mendapat pensijilan ini dan diberi peluang pekerjaan,” katanya yang telah berkerjasama dengan usahawan India dan belia berkemahiran sejak 25 tahun lepas.

Sementara itu, yayasan tersebut juga dalam usaha meneroka kerjasama dengan dewan perniagaan India, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan belia berpusat di kuil untuk menggalakkan Skim Pembiyaan Perkasa MADANI TVET selain meningkatkan kesedaran mengenai kursus bernilai tinggi dalam kalangan komuniti majoriti India di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan