AM

METER PINTAR TNB BANTU RAKYAT MALAYSIA URUS TENAGA LEBIH BAIK

10/08/2025 11:45 AM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Penetapan tarif elektrik baharu di Malaysia bukan sekadar perubahan dasar, tetapi permulaan kepada kaedah lebih bijak membekalkan tenaga di kediaman menerusi pemasangan meter pintar yang memberi pelanggan akses maklumat penggunaan secara masa nyata serta kebebasan mengawal penggunaan tenaga melalui skim Masa Penggunaan (ToU).

Pelaksanaan pemasangan meter pintar di seluruh negara kini semakin bertambah apabila pelanggan menikmati kemudahan memantau penggunaan tenaga secara lebih berkesan serta kawalan yang lebih baik terhadap penggunaan elektrik menerusi inisiatif Infrastruktur Pemeteran Lanjutan (AMI) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Meter pintar yang disasarkan untuk dipasang di kira-kira 10.4 juta kediaman di Semenanjung menjelang 2028 dan seterusnya, adalah peningkatan besar kepada infrastruktur elektrik negara dengan menyediakan data penggunaan harian dan setiap setengah jam yang boleh dipantau oleh pelanggan menerusi aplikasi dan portal myTNB.

Menurut laman web TNB, meter pintar ialah peranti digital yang merekodkan penggunaan elektrik dan menghantar data secara automatik kepada TNB melalui komunikasi gelombang radio yang selamat, membolehkan bil yang tepat, pemantauan harian dan pengurusan tenaga yang lebih baik.

Walaupun negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan China telah menggunakan meter pintar, Malaysia menjadi perintis pelaksanaannya di Asia Tenggara, namun mitos berterusan mengenai bil, kesihatan dan privasi masih mempengaruhi kefahaman masyarakat.

Berlainan daripada tanggapan umum, meter pintar tidak menyebabkan bil elektrik meningkat, sebaliknya ia memberikan bacaan yang lebih tepat dan kerap berdasarkan penggunaan sebenar, tanpa menjejaskan kadar tarif atau caj elektrik.

Menerusi aplikasi myTNB, pelanggan boleh memantau penggunaan harian, menetapkan perbelanjaan elektrik bulanan serta membuat keputusan termaklum bagi mengurus kos tenaga dengan lebih berkesan berbanding penggunaan meter konvensional atau elektromekanikal.

Henry Yew, pesara berusia 78 tahun dari Subang Jaya berkata penerimaan teknologi baharu membolehkannya mengurus penggunaan tenaga dengan lebih cekap menerusi pemantauan harian serta penetapan perbelanjaan bulanan yang sesuai melalui aplikasi myTNB.

“Kini saya hanya menggunakan ciri Energy Budget dalam aplikasi. Ia lebih mudah berbanding memeriksa meter secara manual di luar rumah,” katanya.

Satu lagi mitos yang sering didengar ialah meter pintar mengumpul atau menyimpan maklumat peribadi, dengan sesetengah pelanggan percaya peranti itu boleh mengumpul maklumat peribadi atau sensitif,  tetapi hakikatnya ia hanya merekodkan penggunaan elektrik, cap masa dan kualiti kuasa, bukan data peribadi pengguna.

Bertentangan dengan dakwaan tidak berasas, meter pintar tidak menyebabkan penyakit kerana ia diperakui sepenuhnya oleh SIRIM dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sekali gus memastikan pematuhan piawaian keselamatan dan perlindungan data negara.

Azman Mohd Ali, pesara berusia 64 tahun dari Ampang berkongsi keraguannya sebelum ini: “Pada mulanya saya bimbang apabila orang kata meter pintar boleh menyebabkan penyakit. Bagaimanapun realitinya ialah gelombang elektromagnet yang dihasilkan sangat rendah, malah lebih rendah daripada WiFi. Dengan pensijilan SIRIM dan MCMC, saya lebih yakin ia selamat,” katanya.

Selain itu, meter pintar tidak berfungsi sebagai alat pengintip atau pemantauan kerana ia tidak mempunyai kamera atau mikrofon terbina dalaman.

Meter pintar tidak boleh melihat, mendengar atau merakam aktiviti peribadi, dan hanya menghantar data penggunaan elektrik yang disulitkan kepada pembekal utiliti, yang seterusnya boleh diakses pelanggan melalui aplikasi atau portal myTNB.

Walaupun ada pelanggan yang berasa bimbang tentang proses pemasangan, menyangka ia mengganggu rutin harian atau mengambil masa lama, hakikatnya proses itu direka supaya pantas, mudah, tidak invasif dan tanpa kerumitan.

Seorang eksekutif dari Bandar Parklands, Klang, Sasicala Gingaduran, 41, berkata peralihan kepada penggunaan meter pintar berjalan lancar, dengan proses pemasangan yang pantas dan tidak mengganggu.

“Pada mulanya kami sangka proses menukar meter ini akan menyusahkan, tetapi sebenarnya kami hanya diminta mematikan peralatan elektrik semasa kontraktor TNB memasang meter pintar. Dalam tempoh seminggu, saya sudah boleh memantau penggunaan elektrik melalui aplikasi,” katanya.

Berlainan daripada kepercayaan umum, tarif ToU tidak eksklusif kepada pengguna meter pintar sedia ada tetapi semua pelanggan berdaftar TNB layak beralih kepada tarif ToU, namun untuk berbuat demikian, meter pintar yang diaktifkan mesti dipasang terlebih dahulu di premis pelanggan.

Bagi pelanggan tanpa meter pintar sedia ada, proses penuh pemasangan dan pengaktifan mungkin mengambil masa sehingga dua bulan, manakala perubahan dalam kontrak tarif akan diproses dalam tempoh lima hari bekerja.

Meter pintar bukan sekadar naik taraf tetapi menjadi pemangkin perubahan yang membantu rakyat Malaysia memantau penggunaan tenaga, mengelak kejutan bil dan membuat pilihan harian yang lebih bijak, sama ada beralih kepada ToU atau mahukan lebih kawalan, sudah tiba masanya untuk mengambil alih satu kilowatt pada satu masa.

Untuk maklumat lanjut, layari: https://www.mytnb.com.my/smart-meter.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan