AM

JALUR GEMILANG WAJIB DIKIBAR DENGAN BETUL, PENUH PENGHORMATAN - LOKE

10/08/2025 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan sepertimana diperuntukkan undang-undang, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata mana-mana penyalahgunaan dan kesilapan berhubung bendera dan lambang negara seperti Jalur Gemilang dan Jata Negara, tertakluk kepada Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

“Dalam menangani apa-apa insiden kesilapan berkenaan bendera, pihak berkuasa yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang ialah polis dan mereka perlu diberi ruang bertindak secara adil dan saksama berpaksikan prinsip Kedaulatan Undang-undang atau Rule of Law,” katanya.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan mengakui setiap tahun, ketibaan bulan Ogos ditunggu-tunggu rakyat Malaysia, namun beberapa insiden Jalur Gemilang dipasang secara tidak betul menjadi polemik hangat media sosial dan berpotensi menyimpang fokus kepada sambutan Hari Kebangsaan.

“Bersempena dengan Hari Kebangsaan yang akan datang ini, marilah sama-sama menguatkan perpaduan sesama kita, menghormati kepelbagaian antara satu sama lain dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan Malaysia yang kita cintai bersama,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Chang Lih Kang mahu tindakan tegas yang setimpal diambil pihak berkuasa terhadap mereka yang didapati bersalah dengan sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

Chang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata bendera Malaysia ialah lambang negara dan tiada alasan untuk memasangnya secara terbalik.

“Jalur Gemilang melambangkan semangat, perjuangan dan perpaduan rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Chang turut yakin Malaysia mempunyai undang-undang dan pasukan penguat kuasa yang berperanan memastikan isu ini ditangani sewajarnya dan berharap tiada pihak yang cuba mengapi-apikan sentimen kebencian dalam kalangan rakyat.

“Bersempena dengan bulan kemerdekaan yang mulia, saya menyeru semua ahli politik memikul tanggungjawab untuk memupuk perpaduan rakyat, bukan memecahbelahkan kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan