JENAYAH & MAHKAMAH

PENDEKATAN BAHARU DIPERLUKAN UNTUK PERANGI ANCAMAN DADAH - AHMAD ZAHID

10/08/2025 11:20 PM

PUTRAJAYA, 10 Ogos (Bernama) -- Pendekatan baharu yang tidak lagi berbentuk konvensional diperlukan bagi memerangi penyalahgunaan dadah di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perubahan strategi amat penting kerana trend penyalahgunaan dadah kini amat merisaukan berikutan peningkatan penggunaan dadah sintetik serta modus operandi pengedaran dadah melalui platform media sosial.

"Kerajaan telah berbelanja lebih RM50 bilion untuk melakukan pencegahan, penguatkuasaan dan rawatan, namun kesannya penyalahgunaan dadah tetap meningkat. 

"Kita harus mengakui kegagalan ini … ketepikan perbezaan antara kita untuk memastikan bahawa biarpun negara tidak boleh 100 peratus bebas daripada penyalahgunaan dadah, tetapi tidak mustahil jika kita berjaya mengurangkannya ke tahap yang paling minimum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian perhimpunan agung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) kali ke-46 di sini malam ini.

Ahmad Zahid berkata lebih merisaukan, laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati 68 peratus daripada keseluruhan penyalah guna dadah merupakan pemuda berumur 19 hingga 39 tahun termasuk golongan profesional.

"Dari segi jangka panjang, situasi ini akan menurunkan produktiviti apatah lagi aset negara … tenaga kerja muda ini diperlukan bagi memberikan sumbangan dalam semua sektor di negara ini," katanya.

Beliau menyarankan agensi penguatkuasaan berkaitan serta Pemadam supaya mengambil pendekatan meningkatkan komunikasi dua hala dengan golongan sasar bagi mengurangkan gejala terbabit.

"Bukan sekadar memberi syarahan, tetapi juga menjadi pendengar yang memahami. Bukan hanya mendidik, tetapi turut menyelami emosi anak muda.

"Kita tidak hanya boleh bergantung pada pendekatan lama melalui ceramah dan pengedaran risalah, tetapi kita mesti menggunakan pendekatan komunikasi melalui teknologi digital," katanya.

Ahmad Zahid turut mencadangkan Pemadam untuk mewujudkan pasukan komunikasi digital di setiap negeri, memperkasakan modul latihan dan advokasi untuk sukarelawan.

Selain itu, beliau mengutarakan pandangan bahawa sebuah portal maklumat bersepadu dan aplikasi pintar perlu dibangunkan selain pemerkasaan kerjasama strategik dengan pempengaruh dan komuniti media sosial.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan