JENAYAH & MAHKAMAH

LEBIH 1,000 PATI DITAHAN DI KELANTAN SEJAK JANUARI

11/08/2025 12:07 PM

GUA MUSANG, 11 Ogos (BERNAMA) -- Sebanyak 1,103 pendatang tanpa izin ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menerusi 315 operasi penguatkuasaan yang dijalankan sejak Januari hingga semalam.

Pengarah JIM Kelantan Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata tangkapan itu hasil pemeriksaan terhadap 2,358 pendatang, selain penahanan 50 majikan sepanjang tempoh operasi tersebut.

“Menerusi Op Bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 11.30 malam tadi, kami berjaya menahan 37 pendatang membabitkan 27 lelaki dan 10 wanita.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 58 tahun, terdiri daripada 14 warga Indonesia, 11 Bangladesh, empat Sri Lanka, tiga Pakistan, masing-masing dua warga Thailand dan India, serta seorang Myanmar,” katanya ketika ditemui pemberita di Stesen Penguat Kuasa JPJ Mentara di sini malam tadi.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dalam pas atau permit yang dikeluarkan, serta memiliki dokumen perjalanan palsu.

Katanya, kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 56 (1)(1) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Risikan telah dilakukan sejak tiga minggu lepas selepas pihak kami mengesan modus operandi PATI yang melakukan kesalahan berulang serta menggunakan perkhidmatan bas bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada JPJ yang membantu memastikan pemeriksaan berjalan lancar,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan