PASIR MAS, 11 Ogos (Bernama) -- Jenazah empat mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta dan lori treler di Gua Musang hari ini, telah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kubang Bemban di sini pada pukul 11.30 malam..
Terdahulu, jenazah kesemua mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya di Jabatan Forensik Perubatan, Hospital Gua Musang selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.
Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi, empat orang maut termasuk dua kanak-kanak, manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori treler di Jalan Utama, Felda Chiku 1, Gua Musang.
Mangsa yang maut adalah Muhammad Faiz Nor Amran, 32,dan adiknya Nor Aina Imra, 21, serta dua anak Muhammad Faiz iaitu Muhammad Aryan Fattah, 5, dan Muhammad Ayden Fattah berusia empat tahun.
Isteri Muhammad Faiz, Tuan Norsyuhada Mohd Zain, 23, yang memandu kereta tersebut pula mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada akibat tersepit di tempat duduk pemandu.
-- BERNAMA