DUNIA

CHINA PUPUK KEBIJAKSANAAN DALAM KALANGAN RAKYAT - ANDREI OKOUNKOV

11/08/2025 04:19 PM

BEIJING 11 Ogos (Bernama-CMG) -- Penganjuran Persidangan Sains Asas Antarabangsa (ICBS) membawa makna signifikan khususnya dalam menyediakan peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara bersemuka, saling bertukar pandangan dan mencetuskan idea baharu.

Pandangan itu disuarakan pemenang Pingat Fields, Andrei Okounkov dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG).

ICBS edisi ketiga yang berlangsung di Beijing pada Julai menyaksikan penyertaan saintis dan sarjana terkemuka dari seluruh dunia.

Okounkov yang juga ahli Akademi Sains China berpendapat acara itu turut membantu sarjana asing memperoleh persepsi lebih tepat terhadap negara Tembok Besar.

Beliau berkata, penekanan rakyat China terhadap pembelajaran merupakan antara faktor utama yang mendorong negara itu dapat melakar kemajuan besar dalam pengaplikasian sains, teknologi serta penyelidikan asas.

Beliau berkata rakyat China bukan sahaja bersemangat untuk belajar, malah komited menggunakan ilmu yang diperoleh bagi menghasilkan ciptaan baharu, membangunkan teori terkini atau menghasilkan inovasi yang bermanfaat secara praktikal.

"China memupuk kebijaksanaan dalam kalangan rakyatnya. Mereka sangat memandang serius subjek berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik," katanya.

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan