AM

LHDN LAKSANA OP TITAN, CEGAH KETIDAKPATUHAN CUKAI

11/08/2025 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menggerakkan Operasi Pematuhan Cukai (OP Titan) selama 10 hari bermula hari ini bagi memperkasa penguatkuasaan terhadap ketidakpatuhan cukai.

LHDN dalam kenyataan memaklumkan operasi itu susulan tindakan segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan menyalahgunakan atau menafsir undang-undang secara salah bagi mengelak cukai.

“Pendekatan manipulasi ini melemahkan asas keadilan dalam sistem percukaian dan mesti ditangani segera. Seramai 313 pegawai digerakkan bagi menyasarkan 103 syarikat pelbagai industri,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin menegaskan penguatkuasaan itu penting untuk memperkukuh integriti serta memastikan pematuhan cukai demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

“Keyakinan awam akan meningkat dengan interaksi baik antara LHDN dan pembayar cukai, sekali gus mendorong petugas LHDN menjalankan amanah dengan dedikasi serta profesionalisme,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan pertanyaan atau maklum balas berkaitan OP Titan melalui talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1000 (luar negara) dan borang maklum balas di portal rasmi: https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan