AM

HARI MALAYSIA: EAIC ANJUR LARIAN DI KUALA TERENGGANU PADA 13 SEPT

11/08/2025 04:26 PM

PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menganjurkan Larian ERAT Malaysia 2025 pada 13 Sept ini di Kuala Terengganu sempena sambutan Hari Malaysia ke-62. 

Menurut kenyataan EAIC hari ini, larian santai sejauh lima kilometer bertemakan "Integriti Dijulang, Negara Bermaruah" itu akan bermula dan berakhir di Dataran Batu Buruk, melalui laluan ikonik Jambatan Angkat, mercu tanda utama di bandar berkenaan. 

Pendaftaran adalah percuma dan kini dibuka kepada 1,000 peserta terawal. 

"Selain memupuk gaya hidup sihat, penyertaan itu juga memberi ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama agensi penguatkuasaan menyemai nilai integriti dan tanggungjawab sosial dalam suasana santai dan penuh semangat kenegaraan," menurut kenyataan itu.

Peserta yang mendaftar akan menerima kemeja-T dan medal eksklusif selain berpeluang memenangi hadiah wang tunai serta menyertai cabutan bertuah yang disediakan sepanjang program itu.

Pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan seperti pameran integriti, sesi bersama penguat kuasa, jualan Rahmah, trak makanan dan aktiviti pendidikan awam yang menyasarkan kesedaran sivik dan kefahaman terhadap peranan agensi penguatkuasaan. 

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut layari www.eaic.gov.my.  

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan