AM

SERLAH KREATIVITI, SEMANGAT PATRIOTIK MELALUI KLIK@MERDEKA DAN MYDOODLE@MERDEKA

11/08/2025 01:48 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) sekali lagi memberi peluang kepada orang ramai menyerlahkan kreativiti dan semangat patriotisme melalui dua pertandingan seni visual sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.

Pertandingan fotografi Klik@Merdeka serta pertandingan mewarna dan melukis MyDoodle@Merdeka, yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 1 Sept ini, terbuka kepada penyertaan rakyat Malaysia secara dalam talian menerusi portal rasmi www.merdeka360.my.

Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Visual dan Seni Reka Japen Nor Azli Mohd Nor Azian, berkata kedua-dua pertandingan itu mula diperkenalkan semasa pandemik COVID-19 dan kekal relevan hingga kini dengan sambutan yang menggalakkan setiap tahun.

“Kita menerima lebih 80,000 penyertaan bagi pertandingan mewarna dan melukis termasuk lebih 5,000 karya untuk Klik@Merdeka ketika itu. Pertandingan ini diteruskan sehingga kini dan kami mengalu-alukan orang ramai untuk turut serta,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.

Beliau berkata pertandingan Klik@Merdeka terbuka kepada semua warganegara berumur 15 tahun ke atas dengan penyertaan berbentuk karya fotografi yang merakamkan semangat kemerdekaan mengikut tema HKHM 2025, 'Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni' serta mempunyai nilai-nilai Rukun Negara.

“Karya fotografi peserta boleh dihasilkan menggunakan telefon pintar, kamera DSLR atau sebarang peranti rakaman lain. Namun, juri menekankan idea serta momen yang segar, asli dan belum pernah dipertandingkan sebelum ini,” katanya.

Nor Azli berkata johan pertandingan Klik@Merdeka akan menerima hadiah wang tunai RM3,000, naib johan RM2,000, tempat ketiga RM1,000 manakala lima peserta saguhati masing-masing menerima RM500, selain kesemua pemenang turut membawa pulang plak dan sijil penghargaan.

Sementara itu, pertandingan MyDoodle@Merdeka dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu pertandingan mewarna terbuka kepada murid sekolah rendah dan pertandingan melukis dibuka kepada pelajar sekolah menengah.

Kategori sekolah rendah dibahagikan kepada dua kumpulan umur iaitu tujuh hingga sembilan tahun, dan 10 hingga 12 tahun, dengan peserta hanya dibenarkan menggunakan pensel warna. Lukisan untuk diwarnakan disediakan penganjur dan boleh dimuat turun melalui portal berkenaan.

Bagi kategori sekolah menengah, peserta berumur 13 hingga 17 tahun bebas melukis menggunakan medium pilihan mereka, dengan syarat saiz lukisan adalah A3 dan karya menepati tema kemerdekaan tahun ini.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh melayari portal rasmi www.merdeka360.my.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan