AM

AHLI PARLIMEN TANJONG EDAR JALUR GEMILANG SEMARAKKAN HARI KEBANGSAAN

11/08/2025 05:20 PM

GEORGE TOWN, 11 Ogos (Bernama) -- Menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 tidak lama lagi, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjong mengedarkan 1,600 Jalur Gemilang kepada 21 sekolah dalam kawasan Parlimen itu bagi menyemarakkan sambutan berkenaan.

Turut diedarkan 6,000 Jalur Gemilang bersaiz kecil kepada pelajar di kawasan Parlimen berkenaan yang disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Kawasan Parlimen Tanjong di sini hari ini.

Lim yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata semua sekolah di kawasan Parlimen berkenaan diseru mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga, sama ada di pintu pagar, di bangunan sekolah mahupun di dalam bilik darjah. 

Beliau berkata bendera juga bukan sekadar hiasan, tetapi simbol semangat, harapan dan tanggungjawab bahawa generasi muda akan terus menjunjung nilai cintakan negara.

"Biarlah setiap sudut dihiasi warna Jalur Gemilang sebagai lambang kesatuan hati, kecintaan kepada negara dan penghargaan terhadap pengorbanan pejuang terdahulu,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Turut berlangsung Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 dengan 28 calon yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu menerima insentif keseluruhan berjumlah RM10,600.

Ini termasuk dua pelajar yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0, masing-masing dari Kolej Tingkatan Enam Hutchings dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Mashoor Perempuan.

Lim berkata pemberian insentif itu melambangkan penghargaan terhadap usaha, pengorbanan dan kerja keras pelajar, selain mengiktiraf peranan ibu bapa serta guru dalam membimbing mereka.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan