JOHOR BAHRU, 11 Ogos (Bernama) -- Johor menjadi negeri pertama di Malaysia yang mengguna pakai teknologi pusat data Tier 4, menyepadukan sistem penyejukan udara termaju serta sistem kitar semula air sisa sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap pembangunan mampan dalam sektor berkenaan.
Sehingga 30 Jun 2025, Johor Special Water (JSW) telah menerima permintaan bekalan air alternatif sebanyak 136 juta liter sehari daripada pusat-pusat data di negeri ini, menggambarkan pertumbuhan pesat industri berkenaan serta peningkatan permintaan terhadap penyelesaian air yang mampan.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata beberapa perjanjian penting telah dimeterai hari ini bagi menyokong inisiatif kelestarian air dan kemajuan teknologi hijau di Johor.
“Pertama, Perjanjian Bekalan Efluen Terawat antara Indah Water Konsortium (IWK) dan JSW menandakan kerjasama strategik bagi membekalkan efluen terawat dari loji rawatan kumbahan IWK di seluruh Johor untuk penghasilan air kitar semula yang akan digunakan dalam sistem penyejukan pusat data.
“Ini menjadikan Johor negeri pertama di Malaysia yang mengguna pakai teknologi pusat data Tier 4, yang merangkumi sistem penyejukan udara dan teknologi kitar semula air sisa,” katanya dalam ucapan perasmian sempena majlis pengiktirafan penggunaan air alternatif dalam industri pusat data Johor di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata perjanjian kedua antara JSW, Bridge Data Centres (BDC) dan Computility Technology (Malaysia) Sdn Bhd melibatkan pembekalan efluen terawat untuk pengeluaran air kitar semula.
“Sejak 9 Jun 2025, BDC telah mula menghasilkan air kitar semula di pusat datanya yang terletak di Kawasan Perindustrian Ulu Tiram – menjadikannya pelabur pertama yang secara langsung menggunakan teknologi ini dari loji rawatan IWK.
"Bagi Computility, pembangunan sistem pengeluaran air kitar semulanya sedang dijalankan secara intensif dan kini berada di fasa akhir pelaksanaan.
"Terletak di Setia Eco Garden, Iskandar Puteri, projek itu dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi menjelang Disember, sekali gus mengukuhkan lagi ekosistem pusat data mampan Johor,” katanya.
Beliau berkata perjanjian ketiga ialah Perjanjian Bekalan Air Mentah antara JSW dan DayOne Data Centres Sdn Bhd, dengan JSW akan membekalkan air mentah dari Sungai Tebrau untuk dirawat dan digunakan dalam sistem penyejukan pusat data di Kempas Tech Park.
“Kerja-kerja pembinaan sistem bekalan air kitar semula sedang giat dijalankan dan dijangka siap serta beroperasi menjelang November,” katanya.
Kerajaan Johor berharap perjanjian-perjanjian ini dapat terus memperkukuh usaha kelestarian air serta mempercepatkan pembangunan infrastruktur pusat data yang tahan lasak, cekap tenaga dan mesra alam di negeri ini.
-- BERNAMA