EKONOMI

PROJEK PEMBINAAN DI BAWAH RMK-13 TUMPU PENGGUNAAN TEKNOLOGI MODEN - AMIR HAMZAH

11/08/2025 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Penekanan akan diberikan kepada penggunaan teknologi moden dalam projek pembinaan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Building Information Modelling (BIM).

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pendekatan ini (penggunaan teknologi moden) dijangka mempercepatkan tempoh siap projek, mengurangkan pembaziran bahan binaan serta menurunkan kos keseluruhan pembinaan.  

"Selain itu, RMK-13 turut menyasarkan pembinaan sejuta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun oleh pihak kerajaan dan pemaju swasta yang mengintegrasikan perumahan rakyat dengan harga lebih berpatutan.

"Pada masa sama pembangunan berorientasikan transit (TOD) akan diperluas bagi mengintegrasikan perumahan dengan sistem pengangkutan awam. Ini adalah peluang besar untuk kontraktor Bumiputera memainkan peranan utama dalam merealisasikan aspirasi pembangunan negara yang mampan dan inklusif," katanya. 

IBS adalah kaedah pembinaan menggunakan komponen pasang siap dibuat di kilang dan kemudiannya dipasang di tapak pembinaan, kaedah ini berbeza dengan pembinaan tradisional yang memerlukan kerja-kerja dilakukan secara manual di tapak.

BIM pula ialah adalah teknologi menggunakan perisian untuk mencipta model digital 3D bagi sesebuah bangunan, model ini mengandungi maklumat terperinci mengenai struktur, sistem mekanikal, elektrikal, dan paip serta maklumat lain berkaitan dengan projek.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam sempena perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-6 Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) malam ini. 

Selain itu, Amir Hamzah turut melancarkan PKBM BIM Satellite Centre, satu inisiatif strategik hasil usahasama antara PKBM dan CIDB E-Construct Services Sdn Bhd. 

Pusat berkenaan akan berfungsi sebagai pusat latihan untuk melahirkan kontraktor yang mahir dalam penggunaan teknologi BIM, teknologi pembinaan moden yang kini menjadi keperluan asas dalam projek-projek bernilai RM10 juta ke atas.

"Melalui PKBM BIM Satellite Centre, para kontraktor akan dibimbing dan dilatih secara menyeluruh untuk mengaplikasikan BIM dalam setiap fasa pembinaan...dari perancangan, rekabentuk, hinggalah ke penyelenggaraan. 

"Inisiatif ini bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam projek tetapi juga akan mengurangkan pembaziran dan meningkatkan produktiviti secara menyeluruh sekali gus menyokong transformasi digital industri pembinaan Malaysia selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan