Dalam era kepesatan teknologi digital dan ledakan maklumat, keperluan untuk memastikan rakyat mendapat maklumat sahih, mudah diakses dan relevan menjadi semakin kritikal, mendorong kerajaan mewujudkan Pusat Sebaran Maklumat (NADI).
Pusat itu menjadi inisiatif penting kerajaan dalam mendekatkan dasar dan agenda pembangunan negara dengan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Menyambut baik inisiatif itu, pakar bagaimanapun berpendapat dalam usaha menjayakan objektif asal NADI, pelaksanaannya masih perlu ditambah baik, termasuk dari sudut pengisian kandungan serta saluran komunikasinya agar rakyat mendapat maklumat berkaitan agenda kerajaan dengan lebih cepat dan berkesan.
AKSES MAKLUMAT SAHIH
Mengulas lanjut, pensyarah kanan Program Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia Dr Fauziah Hassan berkata NADI ketika ini antara medium rasmi kerajaan yang berupaya menyampaikan agenda dan dasar kerajaan secara terus kepada rakyat.
Beliau berkata NADI turut bergerak secara proaktif dalam memperkukuhkan lagi peranannya sebagai saluran penting dalam memperluas akses maklumat rasmi kerajaan kepada rakyat, terutamanya di kawasan yang kurang capaian digital.
pic-2
“Ini kerana objektif NADI itu sendiri adalah sebagai platform untuk menyebarkan program kerajaan termasuk Padu (Pangkalan Data Utama) dan Budi MADANI (Bantuan Subsidi MADANI) kepada masyarakat setempat menerusi akses Internet yang disediakan pusat tersebut,’’ katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pusat sebaran itu juga boleh disifatkan sebagai platform penyebaran maklumat yang terkini dan sahih, sekali gus berkeupayaan menepis berita palsu dan mengelirukan rakyat.
Katanya maklumat yang tidak difahami atau bersifat keliru turut berpotensi menimbulkan salah tanggapan selain mewujudkan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan.
“Oleh itu, peranan NADI dilihat penting kerana tidak semua komuniti yang tinggal jauh dari bandar terdedah kepada saluran media arus perdana. Justeru, apabila mendapat maklumat daripada platform rasmi kerajaan yang ada di kawasan mereka, secara tidak langsung melindungi mereka daripada menerima berita yang tidak benar daripada sumber-sumber (tidak rasmi) lain.
‘’...dan yang lebih penting, dengan kewujudan pusat itu secara tidak langsung juga akan memastikan rakyat benar-benar memahami setiap kandungan atau program kerajaan yang ingin disampaikan,’’ katanya.
PERKASA LITERASI DIGITAL
Mengulas lanjut, Fauziah berkata NADI bukan sahaja mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap dasar kerajaan, malahan berupaya menjadi barisan hadapan bagi membina rakyat yang celik maklumat dan bersedia menghadapi cabaran dunia digital masa kini, khususnya kepada komuniti luar bandar.
Beliau berkata NADI yang merupakan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu, bukan sekadar lokasi tumpuan melayari Internet, sebaliknya merupakan pusat pemerkasaan komuniti dan bermatlamat untuk membangunkan rakyat supaya mereka terdedah kepada dunia digital.
pic-3
Jelasnya, menerusi pusat sebaran maklumat itu, rakyat mudah mendapat akses kepada capaian Internet selain berpeluang menjalani latihan kemahiran digital dan pelbagai lagi program berkaitan teknologi terkini.
NADI mencerminkan usaha kerajaan dalam menjadikan teknologi sebagai pemangkin kemajuan untuk semua rakyat.
“Inilah ruang rakyat membina keyakinan dan kemahiran dalam era digital pada masa ini… dengan lebih 1,099 pusat NADI di seluruh negara, MCMC komited untuk merapatkan jurang digital dan memperkukuh kesejahteraan komuniti.
“Misalnya, menerusi program seperti bengkel digital, keselamatan siber dan keusahawanan telah membuka peluang kepada peserta, termasuk golongan wanita dan belia, untuk menjana pendapatan secara dalam talian… jadi secara tidak langsung kesemua kumpulan masyarakat akan dapat memanfaatkan pusat ini dengan suasana yang selamat dan mesra pengguna,’’ katanya.
Dalam pada itu, Fauziah turut menekankan agar NADI memperluaskan program literasi digitalnya secara berterusan, terutama dalam menghadapi cabaran penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang boleh mengelirukan rakyat.
Beliau berkata pendedahan awal dan berterusan itu amat penting supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu terutamanya yang banyak disebarkan dalam media sosial.
“Kewujudan NADI juga boleh dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem ketahanan maklumat negara….dengan pelbagai platform sedia ada seperti Sebenarnya.my dan MyCheck Malaysia (dalam menyemak berita palsu), NADI dilihat sebagai pelengkap kepada usaha kerajaan dalam menepis penyebaran maklumat palsu, terutamanya di kawasan luar bandar.
pic-4
“Kita juga melihat NADI sebagai pusat sehenti maklumat yang turut berpotensi menjadi tempat advokasi dan pendidikan media, membimbing masyarakat mengenal pasti maklumat yang sahih dan dapat membezakan sama ada fakta (sebenar) daripada rekaan (janaan teknologi),’’ tambahnya.
HAB DATA KOMUNITI
Sementara itu, pensyarah kanan Pusat Kajian Media dan Komunikasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Muhammad Adnan Pitchan berkata NADI bukan sahaja berperanan membantu rakyat menilai kesahihan maklumat dan mengenal pasti berita palsu, malah turut bertindak sebagai hab data komuniti yang bertujuan mengumpulkan pelbagai isu setempat.
Menerusi pusat sebaran itu katanya rakyat boleh menyalurkan maklum balas kepada pembuat dasar termasuk hal yang menyentuh isu lokal dan masalah komuniti setempat.
“NADI antara platform yang memberi ruang kepada rakyat untuk menyuarakan masalah dan memberi idea… ia tidak harus dilihat sekadar menjadi penerima arahan kerajaan semata-mata.
“Ini kerana pusat itu juga mempunyai ‘wajah’ mesra komuniti, di mana kakitangan atau petugas di situ mempunyai ikatan rapat dengan penduduk setempat dan ini menjadikan mereka lebih dipercayai dan mudah didekati oleh masyarakat setempat,’’ katanya.
pic-5
Namun begitu, Muhammad Adnan berkata kurangnya kesedaran mengenai kewujudan dan fungsi NADI itu sendiri menjadi satu halangan besar dalam pelaksanaannya kerana ramai yang tidak mengetahui bahawa pusat sebaran tersebut berupaya membantu komuniti mendapatkan maklumat tepat berkenaan inisiatif kerajaan.
Beliau berkata selain itu, masih wujud jurang kepercayaan apabila sebahagian rakyat masih skeptikal terhadap maklumat kerajaan kerana menganggap ia sebagai propaganda, sekali gus menghalang mereka memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan NADI.
“Sehubungan itu, NADI perlu menjadi medium membantu rakyat memahami dasar kerajaan secara praktikal dan mudah difahami… pusat ini perlu membudayakan amalan ‘kerajaan mendengar’ yang membuatkan rakyat berasa mereka sebahagian daripada agenda pembangunan negara dan bukan sekadar penerima maklumat secara sehala.
“NADI juga perlu mengetengahkan identiti linguistik dan dialek masyarakat pelbagai kaum, bertujuan menjadikan penyampaian maklumat lebih inklusif, mesra komuniti dan dekat di hati rakyat. Menerusi cara ini, mesej yang disampaikan bukan sahaja lebih mudah difahami tetapi juga memperkukuh rasa keterangkuman dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat,’’ katanya.
-- BERNAMA