AM

FAHMI USAHA TEMPATKAN MANGSA KEBAKARAN PANTAI DALAM DI PPR DBKL

11/08/2025 11:57 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil berusaha menempatkan mangsa kebakaran di Pantai Dalam baru-baru ini ke rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai penempatan sementara.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif pada Sabtu lepas.

“Saat ini, di pusat pemindahan sementara (PPS) terdapat 14 keluarga. Beberapa keluarga lain telah memilih untuk tinggal bersama ahli keluarga mereka. Kita sedang menunggu proses pemindahan... sekurang-kurangnya agar mereka mempunyai tempat yang lebih selesa.

“Saya belum mendapat maklumat terkini tetapi bagi keluarga yang mempunyai anak bersekolah, kami juga telah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk memastikan mereka mempunyai peralatan, pakaian dan uniform sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program ‘Daughter of Penang, Daughter of Palestine’ di The Chow Kit Hotel, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Dalam kebakaran kira-kira pukul 11 malam pada Jumaat lepas, sebanyak 14 rumah setinggan dan empat premis kedai termasuk Mydin Mart dan Pasaraya Karnival musnah dijilat api.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan kebakaran itu memusnahkan kira-kira 80 peratus kawasan perumahan seluas anggaran 0.074 hektar serta premis kedai dengan keluasan 0.223 hektar.

Mangsa kini ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan