EKONOMI

EKSPORT DOMESTIK BUKAN MINYAK SINGAPURA BERKEMBANG 7.1 PERATUS PADA SUKU KEDUA 2025

12/08/2025 11:43 AM

SINGAPURA, 12 Ogos (Bernama) -- Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura meningkat sebanyak 7.1 peratus pada suku kedua 2025 tahun ke tahun, meneruskan pertumbuhan 3.3 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya, menurut Enterprise Singapore (EnterpriseSG).

Dalam kenyataan mengenai penerbitan data Semakan Prestasi Perdagangan 2Q 2025, EnterpriseSG memaklumkan eksport barangan elektronik meningkat untuk suku kelima berturut-turut -- berkembang sebanyak 10.5 peratus pada suku kedua 2025.

Prestasi eksport itu didorong terutama oleh penghantaran komputer peribadi, litar bersepadu dan produk media cakera.

Eksport bukan elektronik meningkat untuk suku kedua berturut-turut sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2025, didorong terutamanya oleh emas bukan monetari, jentera khas, serta struktur kapal dan bot.

EnterpriseSG mengekalkan unjuran NODX bagi 2025 pada julat satu hingga tiga peratus, memandangkan aktiviti pembelian awal semakin reda dan tarif balas mula dikuatkuasakan semula pada 7 Ogos, yang mungkin mempengaruhi aktiviti ekonomi dan perdagangan global.

“Selain itu, ketidaktentuan ekonomi yang berterusan ekoran situasi tarif yang sentiasa berubah boleh menjejaskan permintaan daripada rakan dagang utama. Dalam masa yang sama, risiko tarif bagi sektor khusus masih kekal,” tambahnya.

Jumlah perdagangan barangan Singapura meningkat sebanyak 7.1 peratus pada suku kedua 2025, dengan jumlah eksport meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun, didorong oleh eksport bukan minyak, manakala jumlah import meningkat sebanyak 2.2 peratus.

Jumlah perdagangan perkhidmatan pula naik sebanyak 1.7 peratus tahun ke tahun dengan eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 2.7 peratus dan 0.6 peratus.

EnterpriseSG menjelaskan pertumbuhan eksport perkhidmatan disumbangkan terutamanya oleh penerimaan hasil lebih tinggi daripada perkhidmatan perniagaan lain, perkhidmatan kewangan, dan perkhidmatan pelancongan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan