AM

MILO® HIDUP BOLA RAI ULANG TAHUN KE-20, JOHOR DAN SABAH MUNCUL JUARA

12/08/2025 10:50 AM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Program futsal terbesar di Malaysia MILO® Hidup Bola yang meraikan ulang tahun ke-20 tahun ini terus memperkukuh peranan sebagai medan mencungkil bakat bola sepak masa hadapan apabila Johor dan Sabah muncul juara dalam kategori masing-masing.

Menurut kenyataan Nestlé Malaysia, pasukan Stylo Mylo Orange dari Johor merangkul gelaran bawah 12 tahun (B12), manakala Seven E FC dari Tawau, Sabah, melakar sejarah tersendiri sebagai pasukan pertama dari negeri itu memenangi kejuaraan bawah 16 tahun (B16).

Kedua-dua pasukan muncul juara selepas mengharungi perlawanan yang mencabar, berkongsi jumlah keseluruhan hadiah wang tunai RM94,000.

Anugerah Pemain Terbaik dimenangi Muhammad Adith Iqram Fardhli Hamzie (B12) dan Muhammad Adil Qayyum Jamaluddin (B16), manakala gelaran Penjaga Gol Terbaik diraih Mohammad Aniq Zahfran Junaidi (B12) dan Muhamad Arifin Abdul Rahman (B16).

Edisi tahun ini menyaksikan penyertaan lebih 8,000 pemain dari seluruh negara, melibatkan 948 pasukan, iaitu 408 bagi kategori B12 dan 540 bagi kategori B16.

Hanya 32 pasukan mara ke Grand Final di Futsalhub Ampang, Selangor, pada 9 Ogos lepas yang menyaksikan pasukan terbaik dari setiap negeri bersaing merebut hadiah dan gelaran juara kebangsaan.

Ketua Pemasaran Sukan Nestlé Malaysia Kerwin Lim berkata kejohanan itu mencerminkan komitmen MILO® untuk membangunkan bakat muda serta membentuk pemimpin masa hadapan melalui sukan.

“Kami percaya setiap kanak-kanak berhak untuk mempunyai impian. Dengan menyediakan latihan berkualiti, persaingan sihat dan pengalaman membina sahsiah, MILO® Hidup Bola melabur dalam pemimpin serta masa depan sukan negara. MILO® kekal komited membekalkan tenaga dan aspirasi negara melalui sukan,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 2006, MILO® Hidup Bola menjadi peneraju dalam pembangunan sukan futsal dalam kalangan belia Malaysia, memupuk semangat kesukanan selain menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat.

Untuk maklumat lanjut mengenai MILO® Hidup Bola, sila layari www.milo.com.my/get-active/milo-hidup-bola.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan