AM

MALAYSIA, BANGLADESH METERAI LAPAN MOU PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA, KERJASAMA PERTAHANAN

12/08/2025 02:02 PM

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Bangladesh hari ini memeterai lapan memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian bagi memperkukuh hubungan dua hala merangkumi pelbagai sektor, termasuk pertahanan, tenaga, pendidikan tinggi, diplomasi, pembangunan halal dan kerjasama sektor swasta.

Majlis menandatangani dokumen itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Penasihat Bangladesh Prof Dr Muhammad Yunus bersempena dengan lawatan rasmi beliau ke Malaysia.

MoU itu, antaranya mengenai kerjasama pertahanan yang ditandatangani Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh Md Touhid Hossain.

Turut dimeterai ialah MoU mengenai kerjasama dalam pembekalan dan infrastruktur gas asli cecair (LNG), produk petroleum dan kemudahan berkaitan, ditandatangani Menteri Kewangan II yang juga memangku Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dengan Penasihat Bangladesh untuk Pengangkutan Jalan Raya dan Jambatan, Tenaga, Sumber Mineral dan Perkhidmatan Kereta Api M Fouzul Kabir Khan.

Perjanjian lain termasuk Pertukaran Nota mengenai Kerjasama Pendidikan Tinggi serta Latihan untuk Pegawai Diplomatik, ditandatangani oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Dr Asif Nazrul dan Md Touhid Hossain dari Bangladesh.

Mohamad turut menandatangani Pertukaran Nota mengenai Kerjasama Pendidikan Tinggi bagi pihak Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Kedua-dua pihak juga memeterai kerjasama dalam ekosistem halal menerusi Pertukaran Nota antara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan dengan  Pengerusi Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Bangladesh Chowdhury Ashik Mahmud Harun.

Dalam bidang penyelidikan strategik, satu MoU ditandatangani antara Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, dengan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Bangladesh.

Bagi sektor perniagaan, MoU dimeterai antara MIMOS Services Sdn Bhd dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Bangladesh-Malaysia (BMCCI), serta antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dengan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bangladesh (FBCCI).

Lawatan Muhammad Yunus itu menandakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan Malaysia-Bangladesh menyaksikan kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk memajukan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pembangunan modal insan dan pertukaran budaya.

Terdahulu, penerima Hadiah Nobel Keamanan itu yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra.  

Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (USD2.92 bilion), meningkat sebanyak 5.1 peratus berbanding 2023.

Bangladesh rakan dagang kedua terbesar dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan. Eksport utama Malaysia ke Bangladesh termasuk produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia manakala import terdiri daripada tekstil, kasut, produk petroleum dan barangan keluaran kilang.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan