EKONOMI

BANDAR MATSUURA JEPUN AKAN EKSPORT IKAN AJI GORENG SEJUK BEKU KE MALAYSIA

12/08/2025 02:18 PM

Daripada Christine Lim

MATSUURA (JAPAN), 12 Ogos (Bernama) -- Bandar Matsuura yang terletak di bahagian utara wilayah Nagasaki dijangka mengeksport ikan kembung Jepun atau lebih dikenali sebagai ikan aji ke Malaysia tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) Nagasaki Jun Takahashi berkata pada masa ini peruncit utama di Malaysia menunjukkan minat yang tinggi terhadap produk itu.

Menurutnya antara ciri utama produk goreng ikan aji Matsuura adalah tahap kesegarannya yang dikekalkan melalui proses ‘beku sekali.’

Ikan ini diproses dengan segera sebaik sahaja dibawa ke darat dan dibekukan sekali sahaja sebelum sampai kepada pengguna, katanya.

Beliau berkata produk itu dijangka dieksport melalui laut menggunakan kontena sejuk beku untuk mengekalkan kesegarannya.

"Ikan aji goreng sejuk beku dari Matsuura juga telah dieksport ke Amerika Syarikat (AS) dan Mongolia," katanya kepada Bernama semasa lawatan ke Matsuura yang dianjurkan oleh Jetro Nagasaki dan Kuala Lumpur.

Takahashi berkata tarif AS ke atas produk ikan aji goreng Jepun yang telah diproses tidak memberi impak kepada permintaan berikutan kadar tarifnya adalah minimum dan pengguna di AS pula mengutamakan nilai premium dan estetik produk berkenaan.

Ketua Bahagian Kebudayaan dan Pelancongan Matsuura, Takahiro Tashiro berkata bandar ini menyumbang kira-kira separuh daripada jumlah pengeluaran ikan aji dan saba di Jepun dari segi kuantiti.

"Ikan aji kaya dengan nutrien untuk kesihatan rambut, kulit dan mempunyai sifat anti penuaan," kata Tashiro.

Beliau berkata terdapat kira-kira 35 restoran di Matsuura yang menawarkan hidangan aji goreng, dan angka ini lebih banyak berbanding jumlah kedai serbaneka di kawasan itu.

Tashiro berkata restoran Kiraku adalah antara yang terbaik di kawasan ini memandangkan pemilik restoran menangkap ikan pada setiap pagi bagi memastikan ikan yang segar.

"Ikan aji boleh dinikmati melalui pelbagai cara sama ada digoreng atau dimakan mentah seperti sashimi, iaitu makanan kegemaran rakyat Jepun," katanya.

Menurutnya ramai orang mengunjungi Matsuura, dengan pemanduan kira-kira 1 jam 30 minit dari bandar Fukuoka terutamanya untuk menikmati hidangan goreng ikan aji yang sangat popular bukan sahaja dalam kalangan rakyat Jepun, malah oleh pengunjung antarabangsa ke negara itu.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan