JOHOR BAHRU, 12 Ogos (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan lebih berhati-hati dengan kehadiran ubur-ubur yang dikesan di kawasan perairan Mersing.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor Rosmawati Ghazali berkata pihaknya menerima beberapa laporan berhubung penemuan hidupan laut berkenaan.
"Justeru, semua pengunjung dinasihatkan berhati-hati ketika melakukan aktiviti riadah pantai, snorkeling dan selam skuba serta memakai pakaian bertutup atau bersesuaian, bagi mengelakkan terkena sengatan ubur-ubur," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi jabatan itu.
Rosmawati berkata orang ramai boleh menghubungi talian 07-799 1161 dan Pegawai Perikanan Muhammad Irfan Ahmad Hanizar di 013-5268796 atau hadir ke Pejabat Taman Laut Negeri Johor untuk sebarang maklumat lanjut.
-- BERNAMA