JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN WANITA WARGA ASING DISYAKI MEMANDU CUAI, CEDERAKAN ENAM INDIVIDU

13/08/2025 11:34 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Polis menahan seorang wanita warga asing disyaki memandu dalam keadaan cuai sehingga melanggar tiga buah motosikal, sebelum menyerang orang awam di kawasan lampu isyarat persimpangan jalan berhampiran sebuah pusat beli-belah di Bandar Kajang di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 11.58 pagi dan siasatan awal mendapati wanita berusia 24 tahun itu memandu secara berbahaya, sebelum keluar dari kenderaan dan menyerang orang awam dengan sebilah pisau.

“Hasil bantuan daripada orang awam, wanita terbabit ditahan bersama dua bilah pisau sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, Naazron berkata dalam kejadian itu enam individu berusia 21 hingga 60 tahun cedera, dengan dua daripadanya ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut manakala empat lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Beliau berkata tiga buah motosikal turut rosak akibat dilanggar oleh kenderaan wanita terbabit dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Naazron berkata wanita itu ditahan dan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dibuat esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi  balai polis terdekat atau pegawai Penyiasat kes Insp. Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-6919817, bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial video kejadian terbabit yang memaparkan seorang wanita terlibat dalam kemalangan, sebelum keluar dari kenderaannya dengan memegang sebilah pisau.

Turut kelihatan beberapa penunggang motosikal yang cedera dan cubaan orang ramai untuk menahan wanita terbabit.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan