BUTTERWORTH, 12 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 60 pelatih dalam kalangan belia asnaf terpilih mengikuti latihan kemahiran di bawah Divisyen Projek Khas Zakat Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Zakat MAINPP).
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata melalui program itu mereka diberi peluang menjalani kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selamat enam bulan di empat agensi rakan kerjasama Zakat MAINPP.
Beliau berkata empat agensi itu adalah Akademi Binaan Malaysia, Kulim Advanced Technologies, Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dan GRAB Malaysia yang menawarkan kursus merangkumi pelbagai bidang termasuk binaan, elektrik dan teknologi industri serta disusuli dengan sijil selepas tamat latihan.
“Kesemua pelatih yang terpilih ini mendapat tajaan sepenuhnya oleh Zakat MAINPP dan kami memperuntukkan RM3 juta setahun dalam usaha membantu agenda pemerkasaan TVET di negeri ini.
“kami harap selepas habis latihan, mereka dapat menempatkan diri dalam industri dengan pendapatan tinggi atau mempunyai perniagaan sendiri seterusnya menjadi muzakki (penyumbang zakat) dengan menyumbang semula kepada zakat di Pulau Pinang,” katanya pada Majlis Pelancaran Usahawan Wanita Ummi Theraphy dan Pelepasan Pelatih TVET Tajaan Zakat MAINPP 2025 di sini hari ini.
Beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP memaklumkan 120 pelatih menerima tajaan melalui projek itu, yang diwujudkan selepas penstrukturan semula zakat pada tahun lepas.
Selain program TVET, Mohamad berkata Zakat MAINPP turut melaksanakan inisiatif memberdayakan wanita menerusi program keusahawanan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi dalam kalangan wanita asnaf di bawah Divisyen Projek Khas.
“Umpamanya hari ini, kami melancarkan Usahawan Wanita Ummi Theraphy, program yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan lesen perubatan tradisional untuk terapis Zakat MAINPP.
“Sebanyak 40 terapis berjaya mendapatkan lesen untuk menjalankan perniagaan, seterusnya Zakat MAINPP telah menjenamakan semula MyBeedan kepada Ummi Therapy untuk dikomersialkan secara meluas,” katanya.
Beliau berkata program sedemikian bukan sahaja bertujuan mengeluarkan asnaf daripada kemiskinan tetapi turut menjadi galakan kepada pembayar zakat untuk menyumbang kepada dana zakat di negeri berkenaan.
Mohamad berkata peningkatan kutipan zakat juga membolehkan lebih banyak program dan bantuan diagihkan kepada golongan memerlukan di Pulau Pinang.
-- BERNAMA