AM

JPJ MELAKA SITA TUJUH KENDERAAN MEWAH BERNILAI HAMPIR 6 JUTA

12/08/2025 09:51 PM

MELAKA, 12 Ogos (Bernama) --  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyita tujuh kenderaan mewah dianggarkan bernilai hampir RM6 juta dalam Op Khas Luxury yang dilaksanakan sejak 1 Julai lepas hingga hari ini.

Pengarahnya Siti Zarina Mohd Yusop berkata kenderaan terbabit termasuk Bentley, Porsche, BMW dan Toyota Alphard, disita atas pelbagai kesalahan seperti lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Beliau berkata antara alasan yang diberikan pemilik atau pemandu ialah terlepas pandang dan terlupa memperbaharui LKM serta insurans.

“Kenderaan mewah terbaharu yang disita ialah Toyota Alphard dipandu seorang lelaki warga Myanmar bersama enam penumpang lelaki warganegara sama, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Kenderaan itu ditahan di susur masuk Tol Jasin kira-kira 10 pagi tadi.

“Pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu sah manakala semua penumpang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media Op Khas Luxury dan Op Pemandu Warga Asing (PeWA) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah JPJ Melaka Khairul Aswad Abdul Halim dan Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Melaka Zulhilmi Zaidie.

Mengulas lanjut, Siti Zarina berkata semakan mendapati Toyota Alphard berkenaan dimiliki seorang warganegara tempatan dan siasatan sedang dijalankan termasuk kemungkinan ia disewakan kepada warga asing terbabit.

Beliau berkata Op Luxury dilaksanakan serentak di seluruh negara bermula 1 Julai dengan fokus terhadap penguatkuasaan ke atas kenderaan import dan mewah yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 36 motosikal ditunggang warga asing turut disita dalam Op PeWA yang dijalankan di sekitar Melaka hari ini.

“Penunggang yang ditahan terdiri daripada warganegara Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Rohingya, Myanmar dan Vietnam. Antara kesalahan utama dikesan ialah tiada lesen memandu, LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan