KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah melaksanakan majlis solat hajat dan bacaan Yasin pada Khamis ini untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata usaha itu sebagai tanda solidariti, doa dan ingatan tulus umat Islam terhadap pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah itu.
Beliau berkata ikhtiar itu juga bagi memohon agar Allah SWT mencucuri rahmat dan mengampuni segala dosa serta menempatkan Zara Qairina dalam kalangan orang beriman.
“Saya menyeru seluruh umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama hadir dan menyertai majlis solat hajat dan bacaan Yasin di masjid atau surau masing-masing.
“Semoga doa yang dipanjatkan secara berjemaah ini memberi ketenangan kepada ahli keluarga dan menjadi bekalan pahala buat arwah,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Pada Jumaat lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan kubur Allahyarham Zara Qairina, 13, perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Berikutan itu, pada 9 Ogos, kubur remaja berkenaan digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi semalam di tanah perkuburan sama.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
-- BERNAMA