FOKUS BERNAMA

PERHILITAN PERKASA STRATEGI KAWALAN NASIONAL TANGANI KONFLIK MANUSIA-HAIWAN LIAR

13/08/2025 09:53 AM


From Muhammad Basir Roslan

Gangguan haiwan jalanan seperti kucing dan anjing di kawasan perumahan sudah menjadi satu lumrah, namun kebelakangan ini kisah hidupan liar menceroboh kawasan petempatan manusia semakin banyak dikongsikan oleh masyarakat.

Artikel terakhir daripada laporan khas tiga bahagian ini mengupas peranan Perhilitan dalam menangani konflik manusia-hidupan liar di kawasan petempatan manusia, khususnya di bandar. 

 

Kalau dahulu, kelibat babi hutan hanya kelihatan di kawasan perkampungan jauh di pedalaman, namun kini haiwan itu dikesan di bandar-bandar, terutamanya pembangunan baharu. 

Malah, berdasarkan tular di media sosial, haiwan seperti tapir juga semakin “berani” menghampiri petempatan manusia bagi mencari makanan, seperti yang berlaku di kawasan perumahan di Rembau, Negeri Sembilan pada Mac lalu. Terdahulu pada Januari, seekor gajah liar dikesan berkeliaran di Taman Seri Impian, Kluang, Johor.

Dari segi nilai kerugian membabitkan gangguan hidupan liar secara keseluruhan - termasuk pencerobohan gajah liar di kawasan perladangan, kebun dan perkampungan, serta serangan haiwan pemangsa seperti harimau ke atas haiwan ternakan - berjumlah RM46.5 juta bagi tempoh 2020-2024, menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. 

Kesemua ini menyerlahkan konflik manusia-hidupan liar kian meningkat dan menuntut tindakan tuntas pihak berwajib memandangkan kebanyakan hidupan liar terbabit dilindungi undang-undang seperti Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

 

SKALA KONFLIK 

Dalam konteks Selangor, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) negeri  Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata kebanyakan gangguan hidupan liar di negeri itu melibatkan kera.

Daripada 18,444 aduan yang diterima Perhilitan Selangor dari 2023 hingga Mei 2025, sebanyak 14,515 aduan – hampir 80 peratus – melibatkan gangguan kera dengan kawasan seperti Kajang, Petaling, Sepang dan Ampang mencatatkan jumlah aduan tertinggi.

pic-2

Wan Mohd Adib berkata haiwan berkenaan semakin merapati kawasan petempatan manusia kerana hutan yang menjadi habitat asal semakin mengecil, dan gangguan manusia ini turut mengubah tingkah laku haiwan terbabit.

“Antara faktor utama perubahan ini pemberian makanan oleh manusia. Ada pihak yang menjadikan pemberian makanan sebagai daya tarikan pelancongan, tapi tingkah laku ini mengubah tabiat semula jadi hidupan liar ini.

“Bila makanan diberi secara tetap, contohnya setiap hari pada 7 pagi di lokasi sama, kera dilatih untuk datang dan menjadi bergantung pada makanan manusia yang lebih sedap dan tinggi protein, manis, berlemak.

“Ini mengubah sifat alami mereka sehingga membuatkan mereka tidak mahu lagi cari makanan sendiri,” kata beliau kepada Bernama.

Menurutnya, kera antara spesies yang cepat belajar dan beradaptasi dengan perubahan, sekali gus membuatkan mereka kurang takut kepada manusia.

“Konflik wujud apabila berlaku pertembungan aktiviti antara hidupan liar dan manusia, meningkatkan risiko ancaman kepada manusia dan haiwan itu sendiri,” jelasnya.

Bagaimanapun kata beliau, corak gangguan haiwan liar berbeza mengikut geografi dan jenis pembangunan setempat. 

“Namun kita tidak boleh melihat konflik ini sebagai isu satu spesies, sebaliknya isu ekosistem yang terjejas secara keseluruhan dan menjadi refleksi kepada masalah lain seperti kemusnahan harta benda, pengurusan sisa dan keselamatan awam,” tegas beliau.

 

STRATEGI KAWALAN

Berhubung tindakan yang diambil bagi menangani isu kera misalnya, beliau berkata Perhilitan menuruti prosedur operasi standard yang ditetapkan, iaitu bermula dengan siasatan di lokasi dan penilaian risiko, sebelum diambil tindakan fizikal seperti tembak halau, tangkap dan pindah, dan, sekiranya keadaan mendesak seperti haiwan agresif termasuk mencederakan manusia, tindakan tembak mati akan dilaksanakan. 

Bagi spesies lain seperti babi hutan misalnya, pendekatan kawalan memerlukan pertimbangan keselamatan lebih tinggi kerana saiz dan potensi bahayanya termasuk menjalankan operasi bersepadu dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

pic-3

“Aduan berkaitan babi hutan biasanya kami terima melalui PBT, dan faktor kehadiran babi hutan ini berkait dengan sumber makanan daripada pengurusan sampah yang tidak terurus... itu punca utama yang menarik kehadiran haiwan.

“Kerjasama PBT diperlukan misalnya untuk menutup sementara kawasan operasi semasa pemasangan perangkap atau pelaksanaan operasi basmi musuh tanaman bagi menjamin keselamatan orang awam,” jelasnya. 

Di peringkat nasional, Perhilitan dilaporkan telah melaksanakan beberapa inisiatif sokongan termasuk  memperkenalkan program Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) dengan peruntukan berjumlah RM10 juta bagi membantu komuniti terjejas.

Perhilitan turut menjalankan operasi bersepadu bersama-sama agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam dan  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam menangani konflik haiwan-manusia semasa bencana banjir dan lain-lain.

 

PERKASA PELAN MITIGASI URUS KONFLIK

Mengulas dengan lebih lanjut, Wan Mohd Adib berkata lazimnya konflik timbul di kawasan zon penampan pembangunan, terutama di kawasan pembangunan baharu.

Dalam konteks ini, beliau berkata setiap projek pembangunan baharu perlu menyediakan Penilaian Impak Alam Sekitar yang turut merangkumi Pelan Pengurusan Hidupan Liar dan perlu mendapat kelulusan Perhilitan.

“Pelan ini meliputi langkah mitigasi konflik hidupan liar seperti pagar keselamatan, pengurusan sisa, kawasan lintasan hidupan liar dan papan tanda amaran. Perhilitan akan bekerjasama rapat dengan agensi seperti Jabatan Kerja Raya dalam pelaksanaan langkah mitigasi,” jelasnya, menambah pelaksanaan pelan akan dipantau secara berkala.

Pada masa sama katanya, jabatan itu juga proaktif dalam mendapatkan penyelesaian lebih berperikemanusiaan bagi mengawal populasi hidupan liar seperti kera.

“Perhilitan bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menghasilkan kontraseptif oral yang diharapkan dapat memberikan penyelesaian lestari, kerana kaedah fizikal seperti tangkap dan pindah hanya bersifat penyelesaian sementara,” kongsinya.

pic-4

Mengupas lanjut kajian itu, pensyarah kanan Pengurusan Hidupan Liar, Fakulti Perubatan Veterinar UPM  Dr Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan berkata mereka menggunakan gabungan dua hormon yang biasa digunakan dalam ubat kawalan kehamilan manusia, iaitu  ethinyl estradiol dan levonorgestrel yang dimasukkan ke dalam umpan makanan.

“Hormon ini berfungsi menghalang kera betina daripada menghasilkan hormon pembiakan penting. Bila proses ini terganggu, mereka tidak boleh bunting,” katanya ketika ditemui Bernama.

Hasil ujian awal menunjukkan umpan hormon itu sangat berkesan apabila diuji ke atas kera dalam kurungan. Malah, katanya kesannya boleh dihentikan jika hormon tidak lagi diberikan. Kajian juga berjaya menentukan dos dan formula yang boleh dimasukkan ke dalam makanan, iaitu satu langkah penting untuk pelaksanaan sebenar di lapangan.

“Pendekatan ini bukan sahaja lebih berperikemanusiaan, tapi juga lebih mampan dalam jangka panjang,” katanya, menambah kejayaan pelan itu bagaimanapun bergantung pada sokongan orang ramai.

Menurutnya, yang perlu dilakukan hanya meletakkan umpan hormon itu di kawasan yang kerap dikunjungi kera bagi mencari makanan.

“Kera-kera terbabit akan makan sendiri dan pemantauan boleh dilakukan dengan mengambil gambar kumpulan kera tersebut dari semasa ke semasa untuk melihat jumlah anak kera, sama ada berkurang atau bertambah,” jelasnya.

 

MENUJU PENYELESAIAN NASIONAL YANG LEBIH LESTARI

Sementara itu, mengulas konflik manusia-haiwan jalanan di bandar, Prof Madya Dr Azlan Abas, pensyarah Program Pengurusan Persekitaran di Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata isu tersebut mencerminkan krisis perancangan, jurang dasar dan kekurangan empati dalam sistem bandar moden.

Sehubungan itu katanya penyelesaian memerlukan pendekatan bersepadu dan sistematik, bukan tindakan ad hoc yang bersifat sementara.

Mengulas insiden pelupusan anjing liar di Negeri Sembilan selepas lebih 400 aduan dilaporkan, beliau berkata pelaksanaan kaedah “Tangkap, Mandul dan Lepas Semula” atau TNR yang diusulkan oleh badan kebajikan haiwan seperti SPCA Malaysia bukan sahaja lebih beretika tetapi juga lestari dalam jangka panjang.

pic-5

“Kaedah TNR bukan sahaja selari dengan nilai moral dan etika kemanusiaan dalam menangani kehidupan liar, malah mengurangkan konflik antara masyarakat, NGO dan PBT. Dari sudut ekologi, haiwan liar seperti kucing dan anjing berperanan dalam keseimbangan ekosistem bandar sebagai pengawal semula jadi populasi haiwan kecil seperti tikus. Kaedah pelupusan secara agresif boleh menjejaskan rantai makanan bandar dan mengundang kesan sampingan yang tidak dijangka.

“TNR juga menawarkan penyelesaian kewangan yang lebih mampan. Walaupun kos awal pelaksanaannya tinggi, populasi haiwan akan berkurang secara semula jadi dari masa ke masa, menjadikan kos penyelenggaraan jangka panjang lebih rendah berbanding kaedah tangkap dan lupus yang perlu diulang secara berterusan tanpa penyelesaian kekal. Ini menjadikan TNR sebagai satu bentuk pelaburan awal yang bijak,” tambah beliau.

Selain itu kata beliau,  tanpa dasar kebangsaan yang mampu menyelaras tindakan merentas agensi dan negeri, PBT akan terus bertindak secara reaktif berdasarkan tekanan dan sumber yang terhad.

Sebagai penyelesaian, Azlan mencadangkan penubuhan Pusat Pengurusan Haiwan Bandar Malaysia (UPHAB) sebagai badan penyelaras kebangsaan. UPHAB akan menggubal dasar, menjalankan latihan, memantau pelaksanaan serta menyelaras tindakan rentas agensi seperti Perhilitan, PBT dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Model luar boleh dijadikan rujukan, contohnya di Taiwan dengan program TNR dilaksanakan sejak 2017 secara kolaboratif. Manakala di Singapura, aplikasi myENV membolehkan orang ramai melaporkan kewujudan haiwan jalanan melalui geolokasi secara langsung. Data ini disalurkan terus ke agensi berkaitan untuk tindakan cepat, tepat dan berasaskan bukti. Ia turut membantu mengenal pasti pola migrasi haiwan, kawasan pembiakan aktif dan titik risiko kesihatan awam secara masa nyata,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, UPHAB juga dilihat boleh membangunkan sistem pintar seumpama ini di Malaysia, sekali gus menyuntik elemen saintifik, keberkesanan dan akauntabiliti dalam pengurusan haiwan jalanan di bandar.

“Pembangunan tidak seharusnya menafikan kewujudan haiwan lain. Kita perlu membina bandar yang adil kepada semua makhluk, bukan sekadar bersih dan canggih,” tegas pakar kelestarian alam sekitar tersebut.

Malaysia kini berdiri di ambang keputusan besar, sama ada terus mengekalkan status quo yang reaktif dan berisiko atau melangkah ke depan dengan dasar nasional yang progresif, lestari dan berperikemanusiaan. Masa untuk memilih arah yang lebih berani dan berwawasan sudahpun tiba untuk diterokai bersama-sama.

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan