AM

LEBIH 25,000 PENGUNJUNG DIJANGKA MERIAHKAN PMR 2025 NEGERI SEMBILAN

13/08/2025 12:05 PM

SEREMBAN, 13 Ogos ( Bernama) -- Lebih 25,000 pengunjung dijangka menghadiri Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan berlangsung di Dataran Nilai pada 22 hingga 24 Ogos ini.

Ketua Penolong Pengarah Seksyen Program Strategik, Unit Penyelaras Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri Raslina Yahya berkata program tiga hari itu diadakan bagi memberi perkhidmatan secara langsung kepada rakyat selain menyampaikan inisiatif diberikan kerajaan.

"Pelbagai program dan aktiviti akan dianjurkan sepanjang tiga hari itu dan kita sasarkan kehadiran pengunjung melebihi 25,000 memandangkan empat negeri yang kita laksanakan PMR sebelum ini melebihi 100,000 pengunjung.

"Acara kemuncak akan diadakan pada hari terakhir dengan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya semasa temu bual eksklusif sempena PMR 2025 Negeri Sembilan di BERNAMA TV di sini hari ini.

Beliau berkata antara acara menarik diadakan sempena penganjuran PMR yang diterajui Kementerian Digital dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan kali ini ialah jualan MADANI dan karnival kerjaya dan medan makanan (Selero Nogori). 

Turut diadakan diskaun bayaran saman, pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sain Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan kecerdasan buatan (AI), pertukaran topi keledar secara percuma, jualan gerai makanan dan minuman serta banyak lagi.

Raslina berkata pengunjung juga boleh melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma di reruai Kementerian Kesihatan (KKM) selain mendapatkan pelbagai perkhidmatan daripada kementerian serta agensi swasta lain yang turut membuka reruai masing-masing.

Sehubungan itu, orang ramai termasuk dari Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor diharap tidak melepaskan peluang untuk datang ke PMR Negeri Sembilan ini bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan disediakan dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi www.malaysiamadani.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan