SUKAN

JMR UMUM BARISAN PELUMBA BINTANG KE SUZUKA 1000

13/08/2025 12:10 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Bekas juara Australian Supercars dan pelumba IndyCar Amerika Syarikat Scott McLaughlin serta pemandu pasukan factory Corvette Racing Nicky Catsburg dan Alexander Sims akan menyertai barisan pelumba bertaraf bintang pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) bagi perlumbaan Suzuka 1000 2025 di Jepun dari 12 hingga 14 Sept ini.

Johor Racing dalam kenyataan hari ini memaklumkan McLaughlin, Catsburg dan Sims akan mewakili pasukan Pro JMR manakala Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim akan bergandingan bersama pelumba Finland Konsta Lappalainen dalam kelas Pro-Am.

“Kedua-dua pasukan Pro dan Pro-Am akan menggunakan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R yang telah digunakan pasukan ini untuk meraih kemenangan dan kedudukan podium dalam Kejohanan GT World Challenge Asia 2025,” menurut kenyataan itu.

Tunku Abdul Rahman terus menerajui kedudukan keseluruhan kejohanan berkenaan setelah memenangi tiga pusingan kejuaraan setakat ini, manakala Tunku Abu Bakar menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada pusingan terbaharu di Fuji, Jepun.

Sementara itu, Tunku Abdul Rahman berkata menjadi hasratnya sejak sekian lama untuk berlumba di Suzuka 1000 dan penyertaan bersama jentera Pro JMR sememangnya sebahagian daripada perancangan sejak awal.

Beliau berkata, Alex dan Nicky dipilih berdasarkan pengalaman luas mereka mengemudi jentera Corvette dan percaya kehadiran McLaughlin akan menjadi tambahan yang hebat kepada pasukan.

Dalam pada itu, McLaughlin amat berterima kasih atas peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan JMR ke Suzuka, memandangkan litar itu merupakan antara yang tersenarai dalam impiannya sebagai pelumba.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan