AM

MCMC SIASAT VIDEO DIDAKWA PERSENDA LAGU NEGARAKU, DUA INDIVIDU DIPANGGIL

13/08/2025 02:11 PM

PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan dua individu bagi membantu siasatan berhubung penyiaran satu video di media sosial yang didakwa mempersendakan dan tidak menghormati lagu kebangsaan, Negaraku.

Menurut MCMC, satu unit telefon bimbit dan satu keping kad SIM turut disita untuk siasatan ketika sesi rakaman keterangan dijalankan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya semalam.

"MCMC tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mempersendakan atau memperlekehkan lagu kebangsaan, selaras dengan Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang menetapkan kewajipan menghormati lagu tersebut oleh setiap warganegara," menurut kenyataan itu hari ini.

MCMC memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa menghormati lagu Negaraku sebagai tanda kesetiaan dan cinta akan tanah air serta mengelak daripada sebarang perbuatan yang boleh dianggap tidak menghormati lagu kebangsaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan