KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 6,144 kes remaja hamil direkodkan dari 2023 hingga Mac lepas, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau berkata statistik Kementerian Kesihatan (KKM) bagi kes yang berdaftar di kemudahan kesihatan kerajaan menunjukkan 2,737 kes remaja hamil dilaporkan pada 2023, diikuti 2,752 (2024) dan 655 kes pada suku pertama 2025.
"Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam Medical Journal of Malaysia pada 2015 yang bertajuk A review of teenage pregnancy research in Malaysia, antara punca utama kehamilan remaja di Malaysia adalah kekurangan akses kepada pendidikan kesihatan reproduktif yang menyeluruh menyebabkan ramai remaja tidak memahami dengan jelas cara melindungi diri daripada kehamilan tidak dirancang.
"Dapatan ini juga disokong oleh hasil kajian Faktor Risiko dan Pelindung Remaja Terhadap Kesihatan Reproduktif dan Sosial yang diterbitkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2019," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) berkenaan status semasa peningkatan kes kehamilan dalam kalangan kanak-kanak di setiap negeri dari 2023 hingga suku pertama 2025 serta jumlah kes, kadar peratusan pertumbuhan dan punca utama mengikut negeri.
Noraini berkata kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Psikologi Malaysia pada 2020 turut menyenaraikan beberapa faktor lain berhubung situasi itu seperti tekanan rakan sebaya dan pengaruh media khususnya pendedahan kepada kandungan seksual secara terbuka.
"Dari sudut sosioekonomi pula, kemiskinan, keciciran sekolah dan ketiadaan peluang pekerjaan juga dikenal pasti sebagai faktor yang meningkatkan kerentanan remaja terhadap risiko ini,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Doris Sophia mengenai pelan tindakan nasional bagi menangani kes remaja hamil, Noraini berkata antara inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWPKM) termasuk pembangunan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) serta pelan tindakan menangani perkahwinan bawah umur.
"Antara lain modul ini menekankan aspek pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif, kemahiran membuat keputusan yang sihat, pembangunan sahsiah serta keselamatan diri daripada gangguan dan penderaan seksual," katanya.
-- BERNAMA