AM

PETRA KOMITED PERKUKUHKAN PELAKSANAAN DASAR AIR NEGARA - FADILLAH

13/08/2025 05:34 PM

KOTA BHARU, 13 Ogos (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited memperkukuh pelaksanaan Dasar Air Negara sebagai pemacu kepada transformasi sektor air negara bagi memastikan bekalan air yang selamat, berdaya maju dan lestari kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata usaha itu bukan sahaja memperkukuh keterjaminan sumber air negara malah turut mendorong Malaysia ke arah menjadi hab air dinamik yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi, membuka peluang pekerjaan baharu serta memudah cara penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Dalam konteks ini, JPS memainkan peranan penting dalam memperkasakan kerjasama di peringkat kerajaan Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan ke arah pengurusan air yang bersepadu.

"Transformasi sektor air ke arah pengurusan air yang lebih cekap memerlukan sistem maklumat berintegrasi bagi melindungi keselamatan air dan kemampanan ekosistem demi masa depan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah JPS Tahun 2025, di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pengurusan sumber air yang cekap dan mampan kekal sebagai antara fokus utama dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) memandangkan isu keterjaminan bekalan air bersih dan perubahan taburan hujan akibat perubahan iklim semakin meruncing. 

Beliau berkata di bawah Teras A7 iaitu Pengukuhan Mitigasi dan Adaptasi Banjir, kerajaan memberikan penekanan kepada pelaksanaan strategi yang lebih menyeluruh, bersepadu dan inovatif bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap bencana banjir yang kian kompleks dan berimpak tinggi.

"Sebagai agensi teknikal utama dalam pengurusan sumber air negara, PETRA amat mengharapkan JPS terus menjadi peneraju dalam memastikan pengurusan sumber air di Malaysia dilaksanakan secara bersepadu, mampan dan berdaya tahan. 

"JPS juga diharap terus memperkasakan peranan sebagai pemudah cara dasar air negara di peringkat negeri dan daerah agar tiada lagi jurang dalam perancangan dan pelaksanaan projek berkaitan air," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan