DUNIA

PESURUHJAYA TINGGI SINGAPURA PUJI KEPIMPINAN TEGAS MALAYSIA DALAM ASEAN

13/08/2025 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Singapura memuji kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pasukannya telah bertindak pantas dan tegas dalam mengantara konflik Thailand-Kemboja baru-baru ini sehingga menghasilkan satu perjanjian gencatan senjata.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon berkata tindakan itu menunjukkan bahawa walaupun pendekatan ASEAN berasaskan konsensus adalah penting, situasi mendesak memerlukan tindakan segera dan tegas.

“Ada masanya anda perlu bertindak pantas. Malaysia menunjukkan kepimpinan dengan membuat panggilan telefon, membawa kedua-dua pemimpin ke Kuala Lumpur, dan menjadi tuan rumah rundingan yang menghasilkan gencatan senjata.

“Inilah yang kita mahu lihat, setiap kerajaan bersedia untuk tampil dan menangani cabaran secara terus,” katanya dalam program "The Nation, Diplomatic Dispatch" terbitan Bernama TV bertajuk: "Malaysia dan Singapura: Ikatan Merentas Sempadan".

Menon turut menyorot peranan Malaysia dalam memuktamadkan persetujuan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN, menyifatkannya sebagai “petanda kepimpinan yang baik” kerana berjaya menyatukan semua pihak walaupun terdapat perbezaan pandangan.

Beliau berkata ASEAN kekal sebagai platform berkecuali dan selesa untuk kuasa besar mengadakan pertemuan, dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) baru-baru ini menghimpunkan menteri luar Rusia, China dan Amerika Syarikat (AS) dalam pelbagai format.

Mengenai hal ekonomi serantau, Menon menyifatkan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN yang dinaik taraf di Kuala Lumpur pada Oktober ini sebagai langkah positif, di samping usaha seperti Grid Kuasa ASEAN bagi memastikan aliran tenaga rentas sempadan yang lancar.

Beralih kepada hubungan dua hala, Menon menyifatkan hubungan Malaysia - Singapura berada pada tahap yang cemerlang, disokong kepimpinan politik kukuh di kedua-dua pihak.

Beliau berkata Zon Ekonomi Johor - Singapura (GSEZ) yang dipersetujui awal tahun ini sudah menarik minat syarikat yang sedang meneroka peluang di Johor dan Singapura.

“Singapura ada kekuatannya, Johor ada kekuatannya. Syarikat boleh memilih lokasi operasi berdasarkan keperluan masing-masing. Malah sebelum insentif diumumkan, perniagaan sudah mula meninjau lokasi,” katanya.

Menon berkata hubungan rakyat dengan rakyat kekal sebagai elemen penting dalam hubungan dua hala, dengan inisiatif seperti Program Guru Sukarelawan yang membolehkan belia Singapura mengajar Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia, termasuk di luar kawasan bandar.

“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kita. Sepanjang tempoh itu, hubungan ini berkembang kukuh dan meluas ke bidang baharu seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan