AM

FAHMI DOAKAN ANAK RAFIZI SEGERA SEMBUH, KELUARGA DIBERI KESELAMATAN

13/08/2025 09:57 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mendoakan anak kepada bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli yang diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya petang tadi, agar segera sembuh dan diberikan keselamatan kepada mereka sekeluarga.

Menerusi hantaran di platform X, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata beliau amat sedih, terkejut dan marah menerima perkhabaran mengenai kejadian itu.

“Sebagai seorang bapa dengan anak-anak yang hampir sama usia anak saudara Rafizi Ramli, saya juga amat risau tentang keselamatan keluarga.

“Saya mendoakan Ben cepat sembuh, semoga Allah beri keselamatan kepada saudara Rafizi sekeluarga, dan semoga penyerang-penyerang ini segera diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang ketika mangsa seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan bersama ibunya dan pemandu mereka.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh dalam kenyataan berkata PKR menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera dan tegas dengan membawa pelaku ke muka pengadilan, serta memastikan keselamatan dan perlindungan semua rakyat, khususnya kanak-kanak.

“Bagi pihak KEADILAN, saya amat terkejut, sedih dan mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap anak kepada Ahli Parlimen Pandan yang juga merupakan mantan Menteri Ekonomi saudara Rafizi Ramli, di Putrajaya petang ini.

“Saya mendoakan agar anak beliau segera sembuh sepenuhnya dan agar keluarga beliau terus tabah menghadapi dugaan ini. Kanak-kanak sama sekali tidak boleh dijadikan mangsa dalam apa jua keadaan. Tindakan sebegini adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan mesti dikecam sekeras-kerasnya oleh semua pihak,” kata Fuziah yang juga Setiausaha Agung PKR.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menerusi hantaran di Facebook meminta pihak polis bertindak segera untuk mengenal pasti penjenayah serta dalangnya, dan mengheret mereka ke muka pengadilan.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam terhadap anak Yang Berhormat Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan. Jenayah serius ini jelas terancang dan bersasar,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata mengganggu atau menyerang keluarga ahli politik itu satu perbuatan pengecut, lebih-lebih lagi serangan terhadap seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.

“Sebagai seorang sahabat, saya amat bersimpati dengan keluarga saudara Rafizi. Sebagai seorang ahli politik, saya bimbang terhadap keselamatan keluarga saya sendiri. Sebagai rakyat Malaysia, saya sangat risau dengan keadaan negara kita,” katanya.

Chang menyeru ahli politik daripada semua parti untuk bersolidariti dan berdiri teguh bersama Rafizi dan keluarganya serta bersama-sama menentang budaya jijik itu yang hanya akan merosakkan masa depan negara.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan rasa kesalnya terhadap kejadian itu dan mahu siasatan segera dilakukan dan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Saya doakan semoga anakanda beliau diberi kesembuhan segera dan Datuk Seri Rafizi serta keluarga sentiasa dilindungi Allah SWT,” katanya yang juga Ketua Wanita PKR.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan