KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Persoalan mengenai rasionalisasi portfolio aset Petronas dan strategi syarikat minyak nasional itu bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran global melibatkan penjualan aset seperti di Kanada dan Brazil antara fokus Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara tersebut dibangkitkan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Pada sesi sama, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta Perdana Menteri menyenaraikan undang-undang yang disifatkan sebagai lapuk dan akan dipinda atau dimansuhkan oleh kerajaan bagi memastikan ia selaras dengan semangat dan prinsip reformasi serta garis masa pelaksanaannya.
Sementara itu pada sesi soal jawab lisan, Roy Angau anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada terdapat rancangan oleh Majlis Keselamatan Negara untuk membangunkan jajaran jalan keselamatan di sempadan Sarawak-Kalimantan.
Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) pula mengajukan soalan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai bilangan terkini usahawan Informal, usahawan Mikro, usahawan kecil dan sederhana, usahawan wanita dan peratusan dalam kalangan mereka yang dijangka terlibat dengan e-Invois.
Turut tersenarai, soalan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan bentuk latihan pengajaran dan pembelajaran yang telah, sedang dan akan ditumpukan ke arah meningkatkan kecekapan guru serta literasi digital pelajar luar bandar sejajar dengan sasaran untuk menyediakan lebih 10,000 sekolah dengan papan pintar menjelang 2027.
Usai sesi tersebut, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang bermula sejak Isnin lepas dan telah disertai 148 Ahli Parlimen setakat ini.
RMK13 yang bertemakan "Melakar Semula Pembangunan" dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lepas, dengan pelaburan RM611 bilion perlu disediakan kerajaan untuk memacu pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos.
-- BERNAMA