AM

RMK13 BERI TUMPUAN TERHADAP TEKNOLOGI, AI RANGSANG TRANSFORMASI DIGITAL NEGARA - GOBIND

13/08/2025 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Penekanan yang diberi terhadap teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI) dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah selari dengan usaha kerajaan untuk mentransformasi pendigitalan negara, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata antara fokus utama yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah membangunkan konsep Rangka Kerja Negara AI dengan memanfaatkan sepenuhnya rangkaian 5G untuk membangunkan penyelesaian digital, termasuk inisiatif bandar pintar menggunakan data sedia ada.

“Penekanan (RMK13) juga diberikan berkenaan dengan ‘data commission’, beliau (Anwar) menyebut dengan cukup jelas berkenaan dengan data bank yang jelas berkaitan dengan keyakinan digital dan sebagainya. 

“Ini adalah langkah-langkah yang kita lihat sebagai langkah yang mendukung impian untuk mencapai negara AI dalam masa yang terdekat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan rasmi Geran Perusahaan 5G dan Bandar AI kepada beberapa syarikat dan juga majlis perbandaran, hari ini.

Beliau berkata inisiatif ini akan dipamerkan pada Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) yang dijadualkan berlangsung pada 17-19 Sept, 2025.

Ekspo ini akan menjadi platform untuk menonjolkan transformasi bandar pintar Malaysia dan menggalakkan kerjasama antara pemimpin bandar, inovator dan penyedia penyelesaian digital.

Memanfaatkan ketersambungan 5G bertaraf dunia, Gobind berkata Digital Nasional Bhd (DNB) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah dipertanggungjawabkan untuk meneraju inisiatif AI Cities, yang membina dan melengkapkan program Bandar Pintar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Saya berharap usaha ini telah, dan akan terus menjadi asas untuk inovasi sebenar yang boleh dilaksanakan. Dengan menyelaraskan kepimpinan strategik dengan pelaksanaan di lapangan, kami telah melihat bagaimana inisiatif nasional boleh diterjemahkan kepada impak tempatan yang bermakna.

"Geran yang diberikan hari ini adalah hasil langsung daripada penyelarasan ini - yang mana dasar memenuhi tujuan, dan visi memenuhi pelaksanaan," katanya.

Geran itu diserahkan kepada 14 penerima, terdiri daripada universiti, syarikat dan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata cadangan terpilih di bawah program geran Kementerian Digital mencerminkan penumpuan padu inovasi, keutamaan negara, dan transformasi digital kerana projek itu merangkumi sektor termasuk pertanian, penjagaan kesihatan, logistik, pembuatan dan pendidikan, memanfaatkan AI dan 5G untuk menangani cabaran dunia sebenar.

Apa yang penting, katanya, kebanyakan penyelesaian direka bentuk untuk boleh dilaksanakan merentas industri dan geografi, daripada koridor dron autonomi kepada papan pemuka berkuasa AI dan sistem pengangkutan pintar yang menyediakan pelan tindakan untuk transformasi lebih meluas.

Inisiatif tersebut juga menunjukkan komitmen untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan institusi awam, memastikan inovasi mencapai keseluruhan masyarakat dan bukan hanya terhad dalam lingkungan syarikat besar.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan