AM

JELAJAH HAWANA 2025 BERSAMA SISWA PERINGKAT POLITEKNIK BUKA TIRAI ESOK

13/08/2025 09:19 PM

SHAH ALAM, 13 Ogos (Bernama) -- Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik yang membuka tirainya esok, diharap mampu menjadi platform pendedahan keselamatan dunia siber khususnya kepada golongan mahasiswa.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata selain memberi pendedahan kepada pelajar mengenai dunia kewartawanan di Malaysia, input berkaitan keselamatan Internet turut menjadi fokus jelajah itu, dalam memastikan golongan pelajar sentiasa berwaspada khususnya ketika melayari Internet.

Beliau berkata seiring dengan usaha itu, program jelajah berkenaan mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memberikan penerangan dan pemahaman berhubung keselamatan serta risiko penggunaan Internet.

“Mereka sebagai pelajar adalah individu yang sering menggunakan gajet. Seharusnya mereka perlu mengetahui mengapa mereka perlu sentiasa berwaspada semasa menggunakan sebarang aplikasi dan sambungan Internet.

“Ini antaranya untuk memastikan pelajar-pelajar tidak menjadi mangsa (khususnya) penipuan dalam talian. Jadi inilah masa untuk kami membantu menyebarkan apa yang sering ditekankan Kementerian Komunikasi tentang keselamatan siber,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan akhir Program Jelajah HAWANA 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik, di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Hal Ehwal Korporat Bernama Mariati Mohd Arif dan Ketua Program Jelajah HAWANA 2025 Bersama Siswa peringkat Politeknik Zaria Mohd Nasri.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib dijadual melancarkan program jelajah di politeknik itu esok.

Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam menjadi pembuka tirai siri jelajah itu dengan tiga sesi perkongsian ilmu yang membincangkan topik berkenaan Mobile Journalism, Semakan Fakta dan ceramah Kempen Internet Selamat.

Nur-ul Afida berkata program jelajah itu dijangka disertai kira-kira 600 pelajar dan pensyarah membabitkan empat politeknik dan satu kolej komuniti sekitar Selangor.

“Insya-Allah, selepas ini kita merancang untuk pergi ke selatan tanah air iaitu di Johor kerana pada tahun lepas kita memberi tumpuan kepada enam zon untuk universiti membabitkan penglibatan 16 universiti awam,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan