Oleh Nur Afiradina Arshad
LUMUT, 14 Ogos (Bernama) -- Bagi anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), laut adalah ‘medan tempur’ harian yang menuntut keberanian dan pengorbanan, termasuk berjauhan daripada keluarga demi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
Perjuangan ‘penjaga laut’ di sepanjang perairan Malaysia menjadi lambang semangat cinta akan negara dan keazaman untuk memastikan negara kekal aman dan sejahtera.
"Semuanya demi memastikan tiada pihak sewenang-wenangnya menceroboh dan melakukan jenayah maritim sekali gus berisiko mengancam keselamatan negara,” kata Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob kepada Bernama, baru-baru ini.
Beliau yang sudah berkhidmat kira-kira 20 tahun berkata APMM sentiasa berdepan pelbagai ancaman seperti kes pemerasan, penyeludupan warga asing, penangkapan ikan secara haram nelayan asing, pencurian hasil laut serta pencerobohan zon menangkap ikan oleh nelayan tempatan.
Mohamad Shukri berkata tugas menahan penjenayah maritim atau menyiasat aktiviti jenayah menjadi semakin sukar apabila komuniti nelayan tempatan sendiri memilih untuk berdiam diri demi menjaga sumber pendapatan mereka atau bimbang bot dirampas oleh mana-mana individu ‘berkuasa’ di laut.
“Kita pernah meminta bantuan daripada bot-bot nelayan untuk membuat penyamaran sebagai nelayan biasa, iaitu ada penguat kuasa duduk atas bot itu dan membuat aktiviti penguatkuasaan, tetapi jarang-jarang dapat kerjasama nelayan kerana bimbang jika dikenal pasti oleh penjenayah, bot itu akan diancam.
“Biasanya bot mereka akan dicuri, dirosakkan atau disabotaj. Harga sebuah bot juga tidak murah, bernilai puluhan ribu ringgit jadi ini membimbangkan nelayan juga,” katanya.
Di Perak yang mempunyai kawasan perairan seluas kira-kira 12,000 kilometer persegi, Mohamad Shukri berkata APMM lazimnya menerima maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 oleh kapal dagang daripada Sistem Pengawasan Maritim Malaysia (SWASLA) dan Jabatan Laut Negeri.
Beliau berkata terdapat beberapa kes kapal dagang berlabuh tanpa kebenaran daripada Jabatan Laut dan enggan memberikan kerjasama untuk diperiksa sehingga memaksa pusat operasi maritim negeri mendapatkan bantuan helikopter dan Pasukan Tindakan Khas dari Putrajaya untuk menaiki kapal secara paksa.
Mohamad Shukri turut berkongsi pengalaman sewaktu menjalankan tugas mengejar bot nelayan Thailand di Laut China Selatan pada waktu senja sehingga kapal ronda yang digunakan tersangkut pada tali pukat nelayan yang berada di lokasi berkenaan.
“Ini memaksa saya menghentikan kapal dengan serta-merta. Tali itu mesti dipotong dan kru kami terpaksa menyelam ke dalam laut pada waktu petang ketika hampir maghrib.
“Kalau tak selam mungkin pihak kami tidak dapat balik dan terkandas di situ kerana ketika kejadian berlaku kami berada lebih 100 batu nautika di tengah Laut Cina Selatan,” katanya mengimbau kejadian yang berlaku kira-kira 15 tahun lepas.
Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2025, beliau menyeru komuniti maritim supaya melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan laut dengan penuh dedikasi serta telus dan mengikut undang-undang.
“Kemerdekaan bukan hanya sambutan. Ia tanggungjawab. Semua pihak perlu patuh undang-undang, bantu salurkan maklumat, dan jangan lindungi penjenayah laut. Kalau semua main peranan, barulah laut kita benar-benar merdeka,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bakal diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos, manakala sambutan Hari Malaysia berlangsung pada 16 Sept di Pulau Pinang, bertemakan 'Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.'
Maklumat mengenai sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta acara berkaitan boleh didapati melalui portal rasmi www.merdeka360.my atau platform media sosial Merdeka360 pada Facebook, Instagram dan X.
-- BERNAMA