Oleh Nurfardlina Izzati Moktar
KUALA LUMPUR,14 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyasarkan menambah sekurang-kurangnya 100,000 pengguna baharu aplikasi Price Catcher menjelang akhir tahun ini, berbanding lebih 552,000 pengguna yang memuat turun aplikasi berkenaan setakat ini.
Timbalan menterinya Datuk Dr Fuziah Salleh berkata beliau yakin sasaran itu mampu dicapai memandangkan aplikasi berkenaan sebagai platform perbandingan harga yang diperkenalkan pada 2019 amat berguna kepada pengguna untuk membuat keputusan bijak dalam pembelian barangan keperluan harian.
Fuziah berkata daripada jumlah pengguna aplikasi itu, hanya 62 peratus yang benar-benar menggunakannya sekali gus menunjukkan tahap kesedaran terhadap aplikasi Price Catcher dalam kalangan pengguna masih rendah.
“Saya kira ada beberapa faktor (tahap kesedaran masih rendah) antaranya pengguna itu sendiri, tetapi saya tidak rasa kita harus letakkan beban sepenuhnya kepada pengguna. Peranan advokasi ini adalah tanggungjawab bersama melibatkan kementerian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna serta masyarakat itu sendiri.
“Tidak boleh kata bahawa pengguna tidak sedar sebab mereka tidak mahu ambil tahu. Ini peranan semua pihak untuk memastikan bahawa ada kesedaran tinggi terhadap penggunaan aplikasi berkenaan,” katanya ketika temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu, Fuziah berkata KPDN sentiasa berusaha untuk menambah baik aplikasi terbabit bagi meningkatkan pengetahuan pengguna terhadap kedudukan harga barang serta memanfaatkan aplikasi dalam membuat keputusan pembelian.
“Kita tak boleh kawal semua harga sebab kita berada dalam ekonomi pasaran bebas, penentuan harga adalah berdasarkan faktor permintaan dan penawaran di pasaran tetapi pengguna boleh membuat keputusan untuk memilih,” katanya.
Fuziah berkata KPDN juga bergiat aktif dalam mempromosikan aplikasi Price Catcher melalui program-program advokasi kepenggunaan seperti Karnival Beli Barangan Malaysia, Jelajah KPDN, Program MADANI Rakyat, Jualan Rahmah dan sebagainya.
"Reruai dan pameran advokasi aplikasi Price Catcher dibuka kepada orang ramai bagi pertanyaan lanjut serta membantu mereka memuat turun aplikasi itu, malah KPDN juga memberikan taklimat mengenai aplikasi berkenaan dalam program-program KPDN yang dijalankan," katanya.
Mengulas mengenai cabaran utama dalam usaha mengemas kini maklumat harga dalam aplikasi Price Catcher bagi memastikan pengguna mendapat maklumat harga barangan terkini, Fuziah berkata ia termasuk perubahan harga yang dilakukan oleh sesetengah premis selepas pemantauan dijalankan.
"Perubahan harga bergantung kepada strategi perniagaan premis masing-masing. Ada premis yang menukar harga secara harian atau dua kali seminggu, malah ada yang melakukannya bergantung kepada barangan itu, seperti barangan segar yang dijual pada harga lebih tinggi ," katanya.
Fuziah menjelaskan Pegawai Pemantau Harga (PPH) memantau pasar basah pada awal pagi dan mengemas kini harga di pasar terbabit sebelum 10 pagi, manakala pemantauan di pasar raya pula dijalankan mengikut masa premis beroperasi dan harga dikemas kini sebelum 12 tengah hari.
Antara cabaran lain yang turut dihadapi, iaitu barangan yang dipantau tidak berada di rak ketika pemeriksaan dijalankan sekali gus menyebabkan tiada harga dapat direkodkan serta dipaparkan dalam aplikasi Price Catcher.
"Walaupun kita menghadapi cabaran itu, namun berdasarkan pemantauan kita, perubahan pada harga yang berlaku kebiasaannya adalah tidak ketara, malah aplikasi Price Catcher masih boleh memberi panduan kepada pengguna mengenai kedudukan harga barangan pada hari berkenaan," katanya.
Mengenai kaedah kutipan data harga, Fuziah menjelaskan ia dibuat berdasarkan persampelan kerana untuk memantau keseluruhan premis di Malaysia memerlukan sumber tenaga manusia terlalu ramai dengan melibatkan kos yang tinggi.
KPDN kini hanya mempunyai 880 pegawai pemantau harga dan jumlah itu perlu ditingkatkan memandangkan premis yang dipantau ketika ini berjumlah 2,204.
-- BERNAMA